Berita Hari Ini

Doktor Pelatih Gagal Tamatkan Latihan Atas Pelbagai Faktor

PETALING JAYA: Seorang daripada setiap lima doktor pelatih di Malaysia berhenti setiap tahun sekali gus mewujudkan kebimbangan terhadap jumlah masalah keciciran dengan mengambil kira kos pengajian yang tinggi dalam bidang perubatan.

Kos pengajian mungkin menelan belanja RM500,000 untuk mempelajari bidang perubatan di Malaysia dan mencecah RM1 juta sekiranya mengikuti kursus itu di luar negara.

Ramai doktor baharu yang layak juga berhenti kerana terpaksa menunggu lebih lama bagi jawatan sebagai doktor pelatih.

Mereka yang berhenti secara tiba-tiba didapati bekerja sebagai pelayan dan berniaga di gerai pasar malam serta terdapat kes seorang doktor pelatih bekerja sebagai pramugari.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr S.Jayaindran berkata kira-kira 1,000 daripada 5,000 doktor pelatih diambil bekerja setiap tahun gagal menamatkan latihan mereka selama dua tahun.

Antara faktor mereka meninggalkan bidang tersebut termasuk tidak sesuai untuk profesion berkenaan kerana mereka didesak untuk mempelajari bidang tersebut oleh ibu bapa mereka.

Mempunyai persepsi yang jauh berbeza daripada kehidupan seorang doktor, ketidakupayaan untuk bekerja lebih masa dan mengalami keletihan dari segi fizikal dan mental merupakan antara sebab-sebab lain.

Katanya, peningkatan bilangan doktor pelatih yang meninggalkan bidang perubatan semakin meningkat sejak tiga tahun lalu.

Dr Jeyaindran berkata memandangkan lantikan doktor pelatih dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), proses pemberhentian boleh mengambil masa selama beberapa bulan dan mungkin lebih daripada setahun.

“Sehingga perkhidmatan seseorang itu ditamatkan, kekosongan tersebut tidak boleh diisi dan mereka yang menggantikannya perlu menunggu giliran untuk mula bertugas,” katanya dalam jawapan balas kepada The Star.

Beliau berkata kebanyakan doktor pelatih yang meninggalkan jawatan mereka tidak menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi.

Berikutan jumlah graduan pelajar perubatan yang semakin meningkat setiap tahun antara punca mereka perlu menunggu lama bagi jawatan sebagai doktor pelatih terutamanya dibawah sistem e-houseman yang baharu membenarkan doktor baharu berkelayakan untuk bebas memilih lokasi untuk menjalani latihan perubatan.

Walaupun purata masa menunggu kira-kira enam bulan, ia boleh jadi lebih lama untuk lokasi latihan popular seperti hospital di kawasan bandar termasuk Hospital Kuala Lumpur.

“Dengan seramai 10,000 doktor pelatih di 45 hospital latihan di seluruh negara, hospital tersebut mempunyai pelbagai peringkat tempoh menunggu kecuali hospital di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu,” kata Dr Jeyaindran.

Beliau berkata kementerian perlu mencari jalan lain yang lebih fleksibel untuk mengambil doktor pelatih bagi menggantikan mereka yang telah berhenti.

Katanya, kertas cadangan yang menggariskan kemasukan biasa atau kesesuaian untuk peperiksaan amalan seperti dikemukakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) antara langkah yang sedang dipertimbangkan.

Satu lagi cadangan adalah tempoh induksi yang lebih lama untuk doktor pelatih supaya memahami skop kerja mereka.

“Ia bukan untuk mengawal jumlah seperti yang dicadangkan MMA tetapi untuk memastikan standard minimum kecekapan. Peperiksaan kemasukan biasa sudah dilaksanakan di beberapa negara Asia, Amerika Syarikat dan Australia serta ia mungkin menjadi satu kewajiban untuk memastikan amalan keselamatan perubatan terutama sebaik sahaja terdapat liberalisasi perkhidmatan dan perdagangan,” katanya.

Beliau berkata bebanan kerja seorang doktor pelatih di Malaysia adalah lebih ringan berbanding mereka dari negara lain.

Katanya, doktor pelatih di Malaysia hanya merawat empat hingga enam pesakit di sebuah wad berbanding 12 pesakit di Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.

“Selain itu, doktor pelatih di negara-negara tersebut bekerja purata 80 jam jika dibandingkan dengan purata 65 hingga 72 jam bagi doktor pelatih tersebut di Malaysia,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");