Membawang Hari Ini

Iesya ditaja RM1 juta

Tidak terlintas dihatinya untuk me-ngadakan majlis perkahwinanya secara besar-besaran pada tahun ini. Apatah lagi dengan nilai tajaan daripada pelbagai pihak mencecah sehingga RM1 juta.

Namun, kata pengacara Selamat Pagi Malaysia dan penyanyi, Iesya Toh, tuah dan rezeki yang datang memang sukar untuk ditolaknya.

“Pada peringkat awal, saya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana saja. Namun, ia jadi sebaliknya pula. Jika tiada aral, pihak RTM juga berhasrat untuk menyiarkan majlis akad nikah saya secara langsung dalam program Selamat Pagi Malaysia nanti.

“Semuanya bermula bila nama saya tersenarai dalam pencalonan awal, Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2014 dan selepas keluar cerita saya nak kahwin, ramai pihak yang berminat dan menghubungi perancang majlis, Jazznyta Rahim Artistic Team untuk menaja majlis pernikahan dan resepsi saya nanti.

“Terus terang, saya dan bakal suami tidak menolak penajaan kerana menganggap ia rezeki daripada Allah. Apa yang penting, doakan semoga majlis dirancang berjalan lancar seperti direncanakan,” katanya.

Mengikut perancangan, Iesya atau Nos Iesyatirradiah Sanny Toh, 30, dan pasangannya, Huzairee Mohamad, 34, bakal disatukan pada jam 9 pagi, tanggal 29 Mei ini di Masjid Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ia disusuli dengan majlis pesandingan yang akan berlangsung pada sebelah malamnya di Taman Tasik Titiwangsa iaitu pada jam 8 malam.

Manakala, majlis persandingan khusus untuk peminat tempatan dan Singapura akan berlangsung di Padang Angkasapuri pada tanggal 30 Mei nanti.

Ditanya mengenai wang hantaran pula, kata Iesya, pihak lelaki akan menyerahkan mas kahwin RM1,000 dan wang hantaran sebanyak RM50,000 pada majlis pernikahan mereka nanti.

Iesya pilih kontraktor sebagai suami

Berita Iesya ingin berkahwin turut menepis segala gosip dirinya menjalinkan hubungan de-ngan golongan kenamaan mahupun ditaja pihak VIP sebelum ini.

Ternyata, selepas setahun mengenali hati budi, akhirnya Iesya memilih Zairee yang juga jejaka bertuah kelahiran Negeri Sembilan itu untuk dijadikan calon suaminya.

“Saya percaya kami mempunyai keserasian untuk hidup bersama. Keluarganya juga sudah merisik dan menetapkan tarikh perkahwinan kami pada Ogos lalu.

“Zairee sangat memahami dan apa yang penting, kami saling jujur dan memperacayai antara satu sama lain,” katanya.

Bercerita destinasi bulan madu, kata penyanyi manis kelahiran Johor Bahru dan berdarah kacukan Thailand, Cina, Arab dan Melayu ini, mereka juga merancang untuk berbulan madu ke Sepanyol nanti.

Beralih perkembangan karier seni pula, Iesya akan meneruskan karier seni seperti biasa selepas berkahwin nanti. Buat masa ini, dia sibuk mempromosikan album keduanya berjudul Kasih.

Sebelum ini, mini showcasenya turut mendapat sambutan hangat daripada peminat di Hard Rock Cafe Melaka pada September tahun lalu.

Tidak ketinggalan, ­Iesya sibuk mempromosikan produk kecantikannya iaitu Memooncak yang mula dijual sejak tiga bulan lalu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");