Membawang Hari Ini

Jinggo hormati permintaan Izzue

BELUM pun bermula tayangan, pembikinan drama Suami Sebelah Rumah menjadi perhatian selepas teraju utamanya, Izzue Islam menegaskan enggan lagi bersentuhan sebagai syarat dalam prinsip lakonannya.

Biarpun keputusan itu disambut baik oleh sesetengah pihak, namun ada yang mempertikaikan bagaimana Izzue atau nama sebenarnya Izzul Islam Mazlan akan menjayakan babak romantis tanpa bersentuhan.

Tidak melihat syarat itu sebagai cabaran dalam menghasilkan drama kali ini, pengarah drama Suami Sebelah Rumah, Azman Yahya atau lebih dikenali dengan panggilan Jinggo, menegaskan amat menghormati keputusan Izzue.

Menyifatkan setiap pengarah perlu mempunyai idea kreatif dalam menyampaikan jalan cerita kepada penonton, Jinggo berkata syarat itu memberi kelebihan buatnya untuk mempelbagaikan syot di dalam drama terbaru arahannya itu.

“Saya sedia maklum mengenai syarat itu dan Izzue sendiri ada berjumpa dan berbincang dengan saya sekiranya dia tidak selesa untuk melakukan sesuatu babak.

“Sebagai pengarah saya menghormati permintaannya dan bagi saya ia bukan permintaan yang berat dan sukar. Apatah lagi apabila bercakap mengenai babak romantis, tidak semestinya perlu berpegangan tangan.

“Sebaliknya saya pelbagaikan cara dengan menyusun lakon layar, menyelitkan muzik, dialog yang sesuai dan syot yang sesuai untuk sampaikan babak romantis itu,” katanya kepada Zass.

Tambah Jinggo, dia amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Izzue dan Ayda Jebat, yang turut memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang penggambaran drama ini.

“Saya rasa bertuah kerana Izzue dan Ayda memberi komitmen penuh sepanjang penggambaran drama ini, mereka datang awal, sering merujuk saya dan saya sendiri tidak merasa ada cabaran besar sepanjang sesi penggambaran,” katanya.

Suami Sebelah Rumah sudah mula bersiaran di slot Iris, TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang sejak 2 Mac lalu. Drama terbitan JS Pictures ini buat pertama kalinya menggandingkan Izzue dan Ayda.

Turut sama menjayakan drama ini adalah Sheila Mambo, Nazrief Nazri, Ben Amir, Zulin Aziz, Sherry Al-Hadad dan Hanna Aqeela.

Ayda memegang watak sebagi Eryna terpaksa melamar Amar (Izzue) untuk menjadi suaminya apabila tunangnya, Azlan Nazrief) meminta pertunangan mereka diputuskan pada hari pernikahan mereka.

Amar, yang ternyata mencintai Eryna sedari kecil menerima permintaan Eryna dengan seikhlas hati. Tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing Eryna memaksa Amar untuk tinggal berasingan setelah mereka berpindah ke Kuala Lumpur.

Amar akur dengan kehendak Eryna yang masih lagi belum bersedia untuk membuka pintu hati untuknya. Amar tekad untuk berusaha memikat hati Eryna dan cara terbaik ialah dengan menjadi suami sebelah rumah Eryna.

Kehadiran Amar menceriakan Iman dan Anis, teman serumah Eryna. Eryna sedaya upaya cuba merahsiakan tentang suaminya, yang kini tinggal bersebelahan dengannya.

Keadaan menjadi kalut apabila teman serumah Eryna iaitu Anis jatuh hati dengan Amar. Walaupun Eryna pernah menyatakan yang dia tidak akan pernah suka atau jatuh cinta dengan Amar, kesungguhan Amar sedikit sebanyak berjaya mengetuk pintu hatinya namun dia cuba menafikan.

Dibantu Sheila Rusly

Bercerita lanjut perihal pembikinan drama Suami Sebelah Rumah, Jinggo berkata, dia turut dibantu oleh isterinya, Sheila Rusly, selaku pengarah kedua di dalam drama tersebut.

Katanya, genre drama ini yang lebih kepada komedi memberi kelebihan kepada Sheila yang cukup sinonim dengan watak komedi.

“Ada kalanya bila saya sibuk melihat monitor, Sheila akan pantau dari sudut humor dan beberapa perkara lain. Saya tidak lihat ia sebagai kerjasama suami isteri kerana pelakon juga memberi kerjasama dari sudut lakonan dan sebagainya.

“Tetapi saya kira bertuah kerana Sheila sudah biasa dengan dunia komedi, jadi dia memberi banyak idea untuk memastikan cerita ini lebih menarik,” katanya.

Dek kerana faktor itu juga, Jinggo berkata, dia percaya pada hasil kerja yang jujur dan ikhlas akan menarik penonton untuk menonton drama tersebut.

“Saya tidak melihat faktor waktu tayangan sebagai satu masalah kerana saya percaya kalau sesebuah drama itu menarik, tidak kira ditayangkan pada waktu apa, ia tetap akan menarik penonton.

“Macam saya, kalau saya terhibur sepanjang mengarahkan drama ini, saya percaya penonton juga akan merasai perkara yang sama,” ujarnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");