Jenayah

Jumpa objek berupa pocong

KAMPUNG MACHANG – Satu objek misteri ditemui oleh sepasukan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam sebuah parit di sini, pada kira-kira jam 12.15 tengah malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, sembilan anggota Rela diketuai Ketua Platun Rela (Depot Tahanan Imigresen Ajil), Mohamad Asri Othman, turut menemui kain telekung di sekitar kawasan sama.

Menceritakan kejadian, Mohamad Asri berkata, seorang anggota Rela datang ke tempat beliau bertugas pada kira-kira jam 11.40 malam, dalam keadaan tercungap-cungap dan ketakutan, sambil memaklumkan terlihat kelibat pocong di kawasan selekoh berhampiran kuari.

Menurutnya, sebelum ini, pasukan Rela memang telah mendapat maklumat berhubung kewujudan objek yang dikatakan ‘pocong’ di kawasan berhampiran selekoh berkenaan.

“Setelah mendapat maklumat itu, seorang anggota lain turut memaklumkan perkara sama dan memberitahu sudah ramai pengguna jalan raya terserempak pocong ketika melalui jalan ini yang keadaannya agak gelap.

“Selepas itu, sepasukan anggota Rela telah ke lokasi dimaksudkan dan tiba di sana pada kira-kira jam 12.45 tengah malam untuk meninjau persekitaran. lebih kurang tiga minit kemudian, kami temui satu objek berwarna putih dalam parit,” katanya.

Mohamad Asri memaklumkan, selepas diperiksa, didapati objek berkenaan adalah batang pisang yang dibalut kain putih dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menakut-nakutkan pengguna jalan raya.

Katanya, memandangkan kawasan itu agak sunyi dan gelap, ia menjadi pilihan untuk perbuatan berkenaan, tambahan terdapat cerita mengenai kewujudan pocong di kawasan selekoh itu.

“Kami tidak tahu motif sebenar perbuatan itu, namun dipercayai ia tidak mempunyai unsur khurafat. Sebaliknya kita percaya ia merupakan perbuatan berunsur khianat dengan menyasarkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan ini bersendirian.

“Oleh itu pengguna jalan raya yang melalui kawasan ini tidak perlu berasa takut atau panik. Kami telah hubungi pihak polis untuk memaklumkan perkara ini dan objek ditemui telah dibuang ke tempat lain yang jauh dari laluan orang ramai,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");