Sukan Hari Ini

Kehangatan sukan warisan berterusan

KEHANGATAN saingan sukan warisan bakal berterusan apabila Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 1 hingga 3 April nanti.

Langkah bijak diambil Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan (Persewip) tepat pada masanya selepas kejayaan Malaysia menjuarai kejohanan Istaf di Melaka, awal tahun ini.

Tiga kategori ditawarkan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM16,000 pastinya menarik minat kira-kira 64 regu untuk memburu kejuaraan.

Mampu meriah kejohanan

Presiden Persewip, Dazma Shah Daud berkata, Thailand dan Singapura antara pasukan yang bakal mampu merancakkan kejohanan edisi kedua ini.

“Buat julung kalinya Thailand dan Singapura mengesahkan penyertaan dan masing-masing akan menghantar satu pasukan untuk kategori terbuka nanti.

“Saya sendiri tak pasti pasukan mana yang akan dihantar mereka tapi dengan kehadiran mereka kali ini pasti lebih mencabar lebih-lebih lagi kehangatan Istaf di Melaka bulan lalu masih lagi dirasai.

“Sudah pasti Thailand yang sedikit tercabar dengan kekalahan itu akan mengambil peluang ini untuk membalas dendam,” katanya kepada media pada sidang media, baru-baru ini.

Pentas asah bakat

Dazma turut menjelaskan kejohanan ini bakal menjadi medan bagi memilih pemain kebangsaan termasuk platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu terdiri daripada pemain berusia 18 tahun ke bawah.

“Fokus kita lebih kepada pencarian bakat baharu bagi diasah untuk kejohanan kelak di samping persediaan kepada pasukan negara menjelang Sukan Sea Jun nanti.

“Kita percaya peluang yang ada dalam kejohanan ini akan membuka ruang kepada pemain yang berada di luar sana untuk tunjuk bakat,” katanya.

Nilai kemampuan sendiri

Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ini juga menjelaskan keputusan membenarkan pemain berstatus kebangsaan ataupun pemain Sukma beraksi dalam setiap regu Kategori Terbuka berbanding tahun lalu dibuat untuk menguji sejauh mana kehebatan pemain yang berstatus kebangsaan.

“Pada dasarnya kita anggap pemain kebangsaan terbaik, tapi kalau diuji baru kita tahu kemampuan masing-masing dan kita sendiri tak tahu masih ramai bakat di luar sana yang mungkin setaraf atau lebih dari mereka. Oleh itu, pemain negara ini perlu diuji,” ujar Dazma.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");