Perak Hari Ini

MAAP Nyata Sokongan Penuh Terhadap Ustaz Kazim

Oleh: Firdaus Mat Radzi/Foto: Muhammad Hamizan Khalaf:-

IPOH: Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (MAAP) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Datuk Ustaz Kazim Elias berhubung isu terbaru yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang menjadi viral di laman sosial, sejak semalam.

Ketua Penerangannya, Datuk Halim Ramlee, berkata semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negeri itu melahirkan rasa sedih dengan tuduhan yang dilemparkan oleh mufti tersebut terhadap Ustaz Kazim.

“Kami menghormati kedua-dua ulama ini kerana mereka menjadi tempat rujukan bagi umat Islam dalam menyelesaikan dan menyampaikan pandangan berkaitan isu agama.

“Namun, apa yang terjadi pada hari ini amatlah menyedihkan dan mendukacitakan,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Jelasnya, Ustaz Kazim telah berjaya menyampaikan dakwah hingga mampu menarik minat golongan anak muda untuk mendengar ceramah yang disampaikannya.

“Dengan gaya santai dan bersahaja, Ustaz Kazim telah berjaya menarik perhatian bukan sahaja ribuan malah jutaan anak muda untuk mendengar ceramah dan mengikuti program berbentuk keagamaan.

“Ini adalah satu peluang yang baik untuknya menyampaikan dakwah Islam di negara ini,” ujar beliau lagi.

Halim berkata, kedua-dua pihak perlu duduk berbincang secara peribadi dan tidak lagi memperbesar-besarkan isu tersebut.

“Banyak lagi perkara penting berkaitan Islam yang perlu diselesaikan.

“Mufti dan para ulama perlu duduk berbincang bagi menyelesaikan isu yang lebih besar contohnya berkaitan ancaman daripada pihak musuh Islam,” tambahnya lagi.

Laman media sosial negara telah digemparkan dengan penyebaran surat daripada pihak Mufti Kerajaan Perlis yang tidak bersetuju dengan tindakan jemputan Ustaz Kazim sebagai penceramah di Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis.

Dalam surat berkenaan, Asri mendakwa, Ustaz Kazim sering membacakan riwayat-riwayat palsu dalam ceramah yang dijayakan oleh penceramah bebas tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");