Berita Hari Ini

MASEU Dakwa Pekerja Akan Diberhentikan Secara Paksaan

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airline System (Maseu) menuntut kerajaan memastikan 6,000 pekerja syarikat penerbangan itu ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dan bukannya pemberhentian secara paksaan.

Presidennya, Alias Aziz berkata, Maseu menerima aduan bahawa pekerja MAS bimbang sekiranya mereka diberhentikan secara paksaan tanpa menerima sebarang pampasan daripada syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata pihak pengurusan MAS harus mengambil kira kebajikan pekerja yang diberhentikan, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang meruncing pada ketika ini.

“Kita sedang menghadapi liku-liku hidup yang sukar terutamanya dengan masalah kewangan yang dihadapi MAS. Dua tragedi MH370 dan MH17 yang berlaku sememangnya menjejaskan periuk nasi pekerja-pekerja MAS.

“Harapan kami sebagai pekerja, kerajaan harus menimbang semula pemberhentian secara paksa kepada VSS. Dengan penurunan harga minyak dunia lebih daripada 40 peratus, kita yakin MAS boleh kurangkan kos, sebab itu kita cadangkan MAS mewujudkan VSS,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Alias berkata setiap pekerja yang diberhentikan perlu dimaklumkan lebih awal agar mereka boleh membuat persediaan untuk mencari pekerjaan baharu sekiranya mereka tidak terpilih menyertai syarikat baharu MAS yang akan mula beroperasi pada 1 Julai depan.
“Sekiranya pemberhentian secara paksaan dilakukan, bagaimana dengan nasib 6,000 staf MAS ini? Lagipun, bukan mudah untuk pekerja yang telah berusia lebih 40 tahun ke atas mencari pekerjaan dengan keadaan ekonomi semasa.

“Mereka ini sudah pasti mempunyai masalah kewangan seperti hutang koperasi, menanggung nafkah keluarga, pinjaman perumahan dan lain-lain masalah kewangan,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan syarikat penerbangan berkenaan juga boleh mengguna pakai formula VSS yang pernah dilaksanakan sewaktu Datuk Seri Idris Jala memimpin MAS pada 2005 yang menyaksikan lebih 3,000 pekerja mengambil skim tersebut.

“Sekarang di bawah pentadbiran Ketua Pegawai Eksekutif MAS baharu, Christoph R. Mueller, boleh mengguna pakai formula yang serupa supaya pekerja MAS diberikan pampasan yang setimpal mengikut tahun mereka berkhidmat dengan MAS.

“RM1.6 bilion diperuntukkan kepada mereka yang mahu ambil VSS pada kali ini. Justeru, kita berharap pampasan akan dibayar secara berperingkat bagi mengelakkan pekerja mengalami kerugian dan jatuh miskin selepas ambil VSS,” katanya.

Pada bulan ini, pemilihan kakitangan untuk syarikat penerbangan baharu itu akan dilakukan dan mereka akan menerima surat peletakan jawatan daripada MAS dan surat pelantikan dibawah terma dan syarat baharu dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Mereka yang dipecat akan diberi surat penamatan perkhidmatan dan kemungkinan pakej perpisahan yang masih belum ditetapkan.

Perkara itu menjadi isu perbalahan antara beberapa kesatuan yang mengancam untuk mengadakan bantahan beberapa minggu akan datang.

Namun, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki 100 peratus kepentingan MAS mengeluarkan satu kenyataan pada Isnin yang menegaskan ‘semuanya berada di landasan betul’ bagi pelaksanaan 12 Pelan Pemulihan MAS.

Khazah dipetik sebagai berkata, penyusunan semula itu melibatkan pemulihan lengkap MAS supaya syarikat itu akan kembali meraih keuntungan yang mampan.

Pemberhentian 6,000 kakitangannya adalah sebahagian daripada 12 Pelan Pemulihan MAS.

MAS mempunyai 20,000 kakitangan dan syarikat baharu itu akan hanya memiliki 14,000 kakitangan.

November lalu, Khazanah telah mengumumkan 12 Pelan Pemulihan MAS selepas syarikat tersebut mengalami dua tragedi malang pada tahun lalu selepas kehilangan dua pesawatnya yang meragut 537 nyawa.

Namun, sebelum itu MAS sudah mengalami masalah kewangan kerana ia tidak boleh menyokong kos operasi sehingga mendorong kerajaan untuk melakukan penstrukturan semula terhadap syarikat tersebut.

Beberapa penstrukturan semula telah dilakukan pada masa lalu tetapi MAS masih belum berupaya mencatat keuntangan yang konsisten.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");