Sukan Hari Ini

Medan pemanas badan

PASUKAN hoki negara bakal berdepan saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-24 bermula, Ahad ini hingga 12 April.

Walaupun hanya enam pasukan akan beraksi, saingan kali ini dilihat tetap menarik dengan penampilan juara bertahan yang menduduki ranking pertama dunia, Australia.

Empat lagi pasukan yang mengesahkan penyertaan adalah India, Korea Selatan, New Zealand dan Kanada.

Kejohanan ini adalah medan terbaik buat pengendali sementara skuad kebangsaan, Tai Beng Hai untuk menguji barisan pemain bagi mempersiapkan pasukan negara menghadapi pusingan ketiga Liga Hoki Dunia di Belgium, Jun depan.

Sebelum berdepan saingan di Ipoh, Perak, skuad The Speedy Tigers sudah melakukan persiapan dalam program jelajah Australia, baru-baru ini.

Program tersebut sedikit sebanyak mampu untuk memberi cabaran kepada pasukan lain.

Selepas berakhirnya cabaran Piala Sultan Azlan Shah skuad negara sekali lagi akan melakukan Jelajah Eropah sebagai persiapan terakhir menjelang saingan di Belgium nanti.

Malaysia sasar kejuaraan sulung

SEPANJANG kejohanan ini dianjurkan, pasukan hoki negara tidak pernah muncul sebagai juara.

Kita hanya muncul naib juara sebanyak lima kali pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Tahun ini, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran yang lebih tinggi kepada skuad negara untuk merangkul kejuaraan sulung biarpun dengan kehadiran juara dunia, Australia dan juara Asia, India.

Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, skuad negara sepatutnya tidak berdepan masalah besar untuk muncul sebagai juara selaku tuan rumah.

“Sayangnya kami tidak pernah menang, tetapi kami berharap untuk menjuarainya pada tahun ini,” kata Tengku Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, semua pasukan yang bertanding akan menghantar pasukan utama negara masing-masing seperti mana yang telah disyaratkan.

“Boleh dikatakan semua pasukan yang bertanding dalam edisi kali ini sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.

Menurut Abd Rahim tahun ini menyaksikan saingan yang lebih sengit apabila pasukan lain bakal mencabar Australia yang dalam misi untuk merangkul kejuaraan kejohanan berkenaan buat kali ketiga berturut-turut.

“Selaku juara bertahan, Australia, yang menduduki ranking pertama dunia, kembali sekali lagi untuk mempertahankan kejuaraan.

“Mereka pastinya mahu muncul juara untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan untuk kejohanan berkenaan, baru-baru ini.

Penajaan berjumlah RM1.86 juta daripada 22 penaja itu diterima bagi pihak penganjur oleh penaung kejohanan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");