Membawang Hari Ini

Nabila fokus puteri tunggal

Apabila Nabila Huda mengatakan tidak mahu berlakon dan ingin berehat sepanjang tahun ini, kenyataannya mengundang spekulasi apa yang sebenarnya ingin dilakukan selama setahun.

Hendak diikutkan, bintang layar itu kini rebutan kebanyakan penerbit drama mahupun filem. Ada pula membuat telahan Nabila mahu mendirikan rumah tangga dengan buah hati. Untuk itu banyak persediaan harus dilaksanakan, menyebabkan dia harus bercuti panjang buat sementara waktu.

Anak Amy Search itu juga tidak suka berbicara secara terbuka perihal hubungan cinta, apatah lagi mengenai rancangan mahu berkahwin dalam waktu terdekat.

Kata Nabila, keputusan dibuat tiada kaitan dengan isu dia mahu bernikah, sebaliknya disebabkan anak tunggalnya, Keisha Laila mula bersekolah.

“Hendak diikutkan, memang saya terpaksa berehat panjang daripada bekerja tahun ini disebabkan tiada pembantu rumah untuk tolong menguruskan Keisha. Saya tiada pilihan dan harus membuat keputusan untuk tidak menerima tawaran berlakon, terutama drama rantaian.

“Ini kerana penggambaran drama rantaian mengambil masa panjang dan kadangkala memerlukan saya berada sehari suntuk di set,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Munafik arahan Syamsul Yusof, baru-baru ini.

Nabila akui, pada awalnya memang dia tidak mahu berlakon dalam Munafik kerana mahu berehat. Bagaimanapun, dia tidak mampu menolak lamaran Syamsul untuk menjayakan filem terbarunya kerana beberapa sebab. Pertamanya, dia tertarik dengan skrip dihasilkan Syamsul.

Watak Maria yang diserahkan padanya menuntut pengawalan emosi sebagai seorang yang menderita penyakit mental kronik depresi disebabkan sering tertekan akibat diganggu jin.

“Paling penting sebenarnya, jadual kerja untuk produksi filem Munafik tidak bercanggah dengan jadual saya untuk menguruskan Keisha kerana sebahagian besar penggambaran dilakukan waktu malam.

“Sementara menjalani penggambaran, saya akan menghantar Keisha untuk dijaga datuk dan neneknya. Lagipun di rumah datuk dan nenek, dia ada ramai pak cik dan mak cik yang memang menjadi rakan karibnya. Saya tidak risau apabila Keisha ada di rumah ayah,” katanya.

Selesai penggambaran, Nabila boleh menguruskan Keisha seperti biasa dan begitulah seterusnya untuk beberapa minggu ini sehingga Munafik tamat penggambaran.

Munafik yang turut dijayakan Sabrina Ali, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim dan Datuk Rahim Razali memulakan penggambaran 12 Mac lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik, Pahang.

Nabila akui tentu memenatkan sedikit tetapi penggambaran tidak mengambil masa panjang. Paling lama pun 25 hari, bukan tiga bulan sebagaimana penggambaran drama rantaian.

“Rasa sayang sangat kalau saya tolak watak yang bagus dan diberikan kepada saya ini. Saya dan Syamsul sudah lama tidak berlakon sama.

“Kebetulan dia turut memegang watak utama dalam Munafik, jadi saya rasakan ini peluang terbaik untuk kami bergabung dan menghasilkan filem yang bagus seperti Bohsia dan Bohsia 2,” katanya.

Kata Nabila, walaupun berehat tahun ini, dia tetap mempertimbangkan tawaran berlakon yang tidak memakan masa panjang seperti telefilem mahupun supertele. Segala-galanya bergantung pada jadual kerja diberi.

Selaku ibu tunggal, tentu sukar untuknya apabila harus memperlahankan kerjaya seni semata-mata mahu memberi tumpuan kepada puteri tunggalnya.

Situasi seperti ini tentu mempengaruhi kehidupan Nabila apabila terpaksa menolak banyak tawaran yang datang. Kurang berlakon bermakna pendapatan diperoleh juga berkurangan.

“Antara duit dan anak, tentu sebagai ibu, saya akan utamakan anak. Saya tidak kata duit tidak penting tetapi insya-Allah rezeki itu akan tetap ada.

“Lagi pun saya jenis beringat, simpanan yang ada boleh digunakan apabila tiba situasi seperti sekarang,” katanya.

Kata Nabila, sejak Keisha bersekolah tadika, jadual hidupnya juga berubah apabila dia harus bangun awal pagi untuk menyiapkan puteri tunggalnya ke sekolah.

“SelalunySa celik saja mata awal pagi, saya akan sediakan sarapan, kemudian mandikan Keisha dan siapkan dia untuk ke sekolah. Saya sendiri akan menghantarnya.

“Selepas menghantar Keisha, saya akan balik dan memasak. Siap memasak, saya akan tunggu dia pulang. Selepas makan tengah hari, saya dan Keisha akan tidur sebentar sebelum bangun petang dan layan dia bermain di luar. Begitulah rutin hidup saya seharian sekarang,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");