Sukan Hari Ini

President Warriors tidak gentar

KOTA BHARU – Meskipun turun tanpa dua tonggak utama, namun Kelantan tidak gentar untuk berdepan PKNS FC pada pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan B kempen Liga Piala Presiden di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, hari ini.

Ketua Jurulatih, Zahasmi Ismail berkata, dua pemain iaitu Mohamad Fadhilah Mohd Pauzi dan Mohamad Syamry Mohamad terkeluar daripada perancangan apabila belum pulih daripada kecederaan, selain terlibat dalam kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

Menurutnya, situasi dua lagi pemain yang mengalami kecederaan, Mohamad Faizwan Abdullah dan kapten, Mohd Qayyum Marjoni Sabil turut bergantung pada pemantauan terakhir fisioterapi pasukan sebelum sepak mula perlawanan, petang ini.

“Ketiadaan beberapa pemain regular sememangnya diakui mengganggu persiapan pasukan, namun saya percaya pengganti mereka mampu menggalas tugas beraksi dengan baik pada pertemuan ini.

“Pada masa sama, saya menaruh keyakinan Mohamad Faizwan dan Mohd Qayyum sempat pulih untuk diturunkan pada perlawanan esok (hari ini) biarpun mereka mengadu masih rasa sakit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Namun, jika dua pemain pertahanan dan tengah itu gagal diturunkan sekali pun, Zahasmi tidak cemas untuk menekan butang panik kerana dia optimis barisan pemain simpanan lain bila-bila masa bersedia untuk disenaraikan pada perlawanan berkenaan.

“Kita masih ada Muhamad Syafiq (Ab Rahman), Mohd Aminuddin (Mohd Yusoff) dan Muhamad Nasharizam (Ab Rashid) yang boleh bermain di luar posisi kegemaran mereka. Itu merupakan satu kelebihan yang terdapat dalam pasukan pada musim ini,” katanya.

Mengulas mengenai lawan, PKNS FC yang dibimbing bekas jurulatih Liga Super Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah, jurulatih berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengakui tidak tahu sejauh mana kekuatan dimiliki pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang itu.

“Kalau tengok prestasi semasa, mungkin saya rasa kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang tetapi saya tidak mahu pemain ingat perlawanan ini sesuatu yang mudah bagi mereka.

“Kita kena hormati PKNS FC selepas mereka berjaya mengikat seri 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu. Jadi, saya harap pemain dapat beri komitmen 150 peratus jika kita mahu berhasrat menewaskan mereka pada hari ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");