Membawang Hari Ini

Shiro bikin gempak di Labuan

Gegak gempita dibuatnya di Dataran Labuan dengan gelak ketawa penonton yang tidak kering gusi menyaksikan kumpulan Shiro dengan lawak jenaka bersahaja mereka ketika berlangsungnya sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Labuan, baru-baru ini.

Bagi memikat hati penonton, dalam setiap sketsa mereka, Shiro akan mengundang peminat ke pentas yang dipakaikan pakaian ala perempuan dan diarah mengikut rentak mereka menari lagu-lagu rancak.

Mereka yang menang tidak pulang dengan tangan kosong di mana mereka mendapat hadiah wang tunai RM100 dan peminat yang kalah juga dapat RM50 seorang.

Shiro yang dianggotai Ajak dan Shahrul, bukan saja sibuk membuat sketsa, mereka juga sudi bergambar dengan peminat. Malah Shahrol juga pemurah dengan memberi wang RM10 kepada anak-anak kecil selepas bergambar dengannya.

Majlis yang hangat itu turut dimeriahkan dengan persembahan, Dayang Nurfaizah dengan lagu popularnya, Di Pintu Syurga, Dayang Sayang Kamu dan Erti Hidup.

Artis lain, Rahmad Mega yang menyampaikan lagu popularnya, Bayangan Gurauan, Terharu, Nina Karina dan Aku Penghibur. Walaupun beberapa kali menghadapi masalah teknikal ketika menyanyi, Rahmad bijak memainkan peranan dengan terus menyanyi secara ‘live’.

Majlis sambutan gilang-gemilang itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.

Acara bersejarah bertemakan Wilayahku Ceria ini turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Labuan dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Datuk Isli, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Senator Datuk Yunus Kurus dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Mohd Ikshan.

Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Keseniaan, Perbadanan Labuan Mahathir Abd Hamid berkata, keistimewaan sambutan kali ini ialah persembahan khas 30 Tahun Labuan menjadi Wilayah Persekutuan (16 April 1984).

“Adalah persembahan paparan wajah Labuan sebelum dan selepas menjadi Wilayah Persekutuan. Juga ditunjukkan kejayaan Labuan dan anak Labuan dalam bidang sukan, politik dan seni,” katanya.

Turut ditampilkan, persembahan gimik sambutan yang menampilkan sketsa penyerahan Labuan daripada Kerajaan Negeri Sabah kepada Kerajaan Persekutuan yang menjadi Wilayah Persekutuan ­kedua selepas Kuala Lumpur. Pada malam itu juga penyampaian hadiah Larian Hari Wilayah Persekutuan dan penyampaian hadiah Pertandingan Kibar Bendera Wilayah ­Persekutuan turut diadakan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");