Perak Hari Ini

“Siasat fokus sebenar kumpulan dakwah,” :Nizar

IPOH: Masyarakat Islam di negara ini khususnya di negeri Perak disarankan untuk menyiasat latar belakang sesebuah pertubuhan atau kumpulan dakwah yang dikatakan memperjuangkan hak agama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Nizar Zakaria berkata, rakyat perlu mengkaji berkaitan fahaman yang diamalkan oleh kumpulan samada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

“Saya ingin menasihatkan masyarakat di negeri Perak supaya jangan sesekali terpengaruh dengan pujukan daripada mana-mana pihak yang dikatakan mempertahankan agama tetapi sebenarnya mempunyai agenda tertentu.

“Contohnya seperti kumpulan IS di Syria yang mana ada kalangan masyarakat kita telah menyertai kumpulan itu tanpa mengetahui dan tahu hakikat yang sebenarnya perjuangan anggota berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seorang rakyat dari negeri itu yang bekerja di sektor kerajaan telah ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kumpulan IS.

Beliau berkata lagi, Islam adalah sebuah agama yang tidak mengamalkan keganasan dan tindakan seperti yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan boleh menjejaskan imej agama.

“Islam bukan pengganas dan bukan agama yang memecah-belahkan atau untuk berperang semata-mata tetapi Islam itu sendiri adalah untuk mengajar kesatuan dalam konsep wasatiah.

“Janganlah membuat perkara yang melanggar undang-undang hingga mendatangkan persepsi yang buruk terhadap imej Islam dan juga negeri Perak itu,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri mengambil perhatian serius berkenaan isu tersebut dan beberapa langkah telah diambil bagi membendungnya daripada terus berleluasa di kalangan masyarakat di negeri itu.

“Kita telah menganalisa punca perkara tersebut berlaku dan juga telah membuat kawalan contohnya di peringkat sekolah agama.

“Sekolah agama rakyat diwajibkan untuk berdaftar di bawah enakmen kawalan-kawalan sekolah agama rakyat untuk memudahkan kita memantau perkara-perkara yang  bersifat ekstrem ini,” tambahnya lagi.

Pihak sekolah katanya lagi, tidak pernah memomokkan perkara yang sedemikian rupa kerana matlamat utamanya adalah hendak mendidik pelajar sebaik-baiknya bagi menjamin kehidupan bukan sahaja diri mereka, tetapi juga untuk agama, bangsa dan negara.

Baru-baru ini, tiga individu termasuk seorang wanita telah ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti kumpulan militan Negara Islam (IS).

Dua daripada suspek berkenaan berasal daripada Perak dimana salah seorang merupakan penjawat awam dan dikatakan membantu untuk mendaftarkan akaun Facebook bagi kegunaan rakyat di negara ini dan anggota kanan kumpulan terbabit di Syria.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");