Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Mahu DUN Perak Jadi Contoh, Rujukan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah mencemar duli menyempurnakan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di Bangunan Darul Ridzuan dekat sini, hari ini.

Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri yang bersidang hari ini melakar sejarah dengan keberangkatan pertama Sultan Nazrin atas nama Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-35 sejak dimasyhurkan pada tanggal 29 Mei 2014.

“Adalah menjadi hasrat Beta untuk melihat Dewan Negeri Perak ini menjadi Dewan Negeri yang dapat dijadikan kebanggaan rakyat.

“Dewan Negeri yang boleh dijadikan contoh rujukan dari segi prosiding, kualiti perbahasan serta tata kesopanan ahli Dewan,” titah baginda ketika merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13, hari ini.

Baginda bertitah lagi, ia berdasarkan profil ahli-ahli dewan yang dianggotai oleh barisan profesional dan pemimpin-pemimpin politik yang kaya dengan pelbagai pengalaman.

“Kelulusan profesional dan khazanah pengalaman itu hendaklah dijelmakan dalam bentuk perbahasan yang mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan, mengupas perkara utama dan menganalisis dasar penting secara rasional serta sebaik mungkin mengelakkan perkara sensasi yang berunsur peribadi,” titah baginda lagi.

Titahnya, Dewan Undangan adalah entiti tersendiri, yakni ia cabang bebas dalam sistem demokrasi yang berpegang kepada doktrin pemisahan kuasa.

“Peranan utamanya adalah untuk menyemak, menegur, menasihat dan mengaudit cabang eksekutif.

“Ia adalah tanggung jawab setiap ahli dewan baik di kalangan penyokong kerajaan atau pembangkang.

“Penuhilah peranan tersebut secara objektif dan konstruktif dengan tujuan menambah baik sistem penyampaian dan sistem perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata,” titah Sultan Nazrin lagi.

Terdahulu, istiadat dimulakan dengan baginda berkenan berangkat memeriksa barisan kawalan kehormatan sambil diiringi oleh Ketua Barisan Kehormatan.

Lagu Negaraku dan lagu negeri Perak dinyanyikan sebelum baginda berangkat masuk dalam Dewan Undangan Negeri sekitar jam 10 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");