Berita Hari Ini

Yuran pengajian, asrama di IPTA kekal

KANGAR: Yuran pengajian dan penginapan di semua 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP), kata Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNC/R) IPTA, Brig Jen Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.

Beliau berkata, penyebaran maklumat kononnya ada kenaikan yuran adalah tidak benar dan hanya untuk mewujudkan situasi panik dalam kalangan mahasiswa.

JKNCR/R menyelar laporan yang dibuat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berhubung isu kenaikan yuran pengajian dan penginapan seperti yang disiarkan sebuah akhbar pembangkang.

“Saya menyeru semua mahasiswa agar tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih seperti ini sebaliknya perlu merujuk kepada pejabat hal ehwal pelajar dan kewangan universiti masing-masing terlebih dahulu.

“Tindakan PKPIM yang secara melulu mengeluarkan kenyataan juga amatlah dikesali memandangkan mereka mempunyai pelbagai saluran di universiti untuk menyalurkan permasalahan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar itu semalam melaporkan PKPIM menerima aduan daripada mahasiswa yang mendapat notis berhubung kenaikan yuran pengajian, yuran asrama dan lain-lain yuran berkaitan yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

Menurut Dr Kamarudin, kenaikan yuran adalah tidak logik memandangkan pelajar telah berada dalam pertengahan semester dan yuran pengajian dan penginapan sudah ditolak daripada pinjaman atau biasiswa pelajar.

Beliau berkata, kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa semua program akademik yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta semua perkara yang terbabit secara langsung dengan aktiviti pengajaran pembelajaran tidak akan dikenakan GST.

Beliau, bagaimanapun, tidak menafikan terdapat beberapa yuran pengajian dan penginapan yang berkonsepkan penjanaan kewangan universiti akan mengalami peningkatan bagi menampung kos operasi.

“Memandangkan hampir semua program akademik yang ditawarkan di universiti diiktiraf MQA, maka GST tidak akan dikenakan ke atas yuran, serta perkara lain yang berkenaan secara langsung dengan penawaran program-program ini.

“Sebagai contoh, program pengajian berstatus eksekutif khususnya yang ditawarkan kepada pelajar pascasiswazah terpaksa dinaikkan memandangkan penawaran kursus itu adalah bermotifkan keuntungan, manakala bagi yuran penginapan pula, sewaan penginapan di luar semester pengajian terutama dari pihak luar akan turut dikenakan GST,” ujar beliau.

Katanya, bagi pelajar yang masih tinggal di asrama pada sesi cuti semester bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran akan membayar harga yang sama seperti kebiasaannya.- BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");