Sukan Hari Ini

Duta Skuasy Belia 1Malaysia

KEJAYAAN Datuk Nicol David di pentas antarabangsa tidak boleh dipertikai mana-mana pihak berikutan menggondol pelbagai anugerah dan bentuk kejuaraan yang disertai Ratu skuasy nombor satu dunia itu juga mengharumkan nama negara sekali gus meletakkan nama Malaysia dalam peta dunia khususnya bidang sukan.

Untuk rekod, dia merangkul lapan kali gelaran juara dunia termasuk memenangi lima trofi Terbuka Britain bagi tempoh 10 tahun lalu.

Kini, pencapaian terulung itu membuka mata banyak pihak terutamanya daripada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) untuk mengiktiraf jasa anak jati Pulau Pinang itu dengan melantik Nicol sebagai Duta Skuasy Belia 1Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Pusat Skuasy Negara, Majlis Sukan Negara itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Menurut Nicol, dia berasa begitu dihormati kerana dilantik Duta Program Skuasy Institusi Pengajian Tinggi 1Malaysia.

“Saya menunggu-nunggu untuk memberikan masa dan kepakaran saya kepada pelajar universiti. Skuasy minat saya sejak kecil dan apabila dapat bersama pelajar, saya cukup teruja.

“Walaupun sibuk dengan pelajaran, kita harus bijak membahagikan masa supaya fokus untuk permainan dan tumpuan dalam kelas tidak terjejas,” katanya menyasarkan lima tahun lagi berkecimpung dalam bidang ini sebelum mengambil keputusan menggantung raket.

Motivasi tinggi

Jelas Nicol, pelantikan tersebut menyemarakkan semangatnya untuk menghadapi dua kejohanan besar pada Mei depan.

Ini kerana, Terbuka Windy City yang disertai pada Mac lalu adalah pertandingan terakhirnya sebelum berehat dua bulan.

Beliau kini sedang berehat dan akan berada di Pulau Pinang bertemu saudara sebelum berlepas ke Amsterdam, Belanda.

“Saya berada di puncak kerjaya ketika ini dan secara jujur masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Memang ternanti-nanti untuk terus bermain dengan membawa penuh harapan.

“Permainan ini (skuasy) memberi banyak tawaran. Saya hanya perlu terus bermain, jika boleh saya akan kekal berada dalam gelanggang kaca selama yang mampu.

“Kita harus percaya dengan apa dilakukan, fokus pada sesi latihan, dengar arahan jurulatih. Paling penting, kekal disiplin dengan apa kita buat,” katanya.

Kamalanathan kagum

Dalam pada itu, Kamalanathan memberitahu, bahawa beliau cukup kagum gaya hidup Nicol yang sederhana dan berpijak di bumi nyata walaupun berstatus superstar dalam lapangan sukan.

Katanya, kejayaan Nicol membuktikan dia layak menerima pengiktirafan sebagai Duta Program Skuasy Institusi Pengajian Tinggi 1Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan, YR1M dan SRAM yang menyokong usaha ini. Pemilihan Nicol bertepatan usaha melahirkan jaguh di arena dunia.

“Hasrat kami ingin lihat Malaysia satu negara unik yang berjaya bidang sukan. Saya juga harap, badan kerajaan dan swasta dapat bersama membangunkan sukan skuasy,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");