Membawang Hari Ini

Hanya suara popular

Industri muzik Jepun bukan saja diserikan dengan penyanyi pop mahupun band rock, bahkan penyanyi Anime turut besar pengaruhnya di sana. Di luar, barangkali ramai tidak kenal siapa menyanyikan lagu-lagu dalam sesebuah siri animasi, tapi hakikatnya penyanyi terbabit cukup popular.

Antaranya tidak lain penyanyi yang tahun ini lengkap sedekad berada dalam industri muzik Anime iaitu Mami Kawada.
Berasal dari Sapporo, penyanyi itu cukup popular menyanyikan lagu untuk animasi kegilaan ramai termasuklah Shakugan no Shana, A Certain Magical Index dan Tokyo Ravens.

Berkunjung buat pertama kali ke Kuala Lumpur, baru-baru ini untuk menjayakan persembahan sempena Karnival Animax, Mami jelas tahu akan hala tuju kenapa memilih muzik Anime. Berbanding jadi penyanyi pop biasa, nampaknya dia sangat gembira dengan keputusan menjadi penyanyi sebegitu.

“Sebenarnya saya tidak pernah sangka menjadi penyanyi Anime. Semuanya terjadi secara kebetulan apabila seorang jurulatih vokal tempat saya belajar membuka peluang itu.

“Saya gembira dikenali sebagai penyanyi Anime dan memang berhasrat menyanyi lagu sebegitu sampai bila-bila. Kalau ditakdirkan saya tidak boleh menyanyi lagi nanti, saya tetap mahu menceburi muzik dan mengajar generasi akan datang pula,” katanya.

Meskipun berpengalaman 10 tahun sebagai penyanyi Anime, ternyata dia masih mengakui tugasan itu bukan mudah. Proses di sebaliknya perlu dilakukan dengan teliti.

“Menyanyikan lagu Anime memang amat susah berbanding lagu pop. Penyanyi kena benar-benar tahu mengenai cerita di sebalik lagu itu sebelum menyanyikannya sewaktu proses rakaman.

“Saya sendiri kena baca habis sesebuah komik itu bagi mendapat gambaran keseluruhan cerita dan senarionya. Seterusnya, saya kena bermain pula dengan perasaan dan menentukan mana yang paling sesuai disalurkan dalam lagu berkenaan,” katanya.

Ramai pasti bertanggapan bahawa Anime hanya sesuai untuk kanak-kanak khasnya atau golongan remaja. Bagaimanapun, menurut Mami, senario di Jepun sebaliknya sangat berbeza.

“Penerimaan lagu Anime di Jepun sangat bagus setanding lagu pop masa kini. Malah, di carta, lagu nyanyian kami bersaing sengit dengan lagu arus perdana.

“Apa lagi kartun Anime itu sendiri, penerimaannya memang sangat meluas baik daripada kanak-kanak hinggalah golongan dewasa. Saya sendiri dalam sibuk pun akan cari masa terluang untuk menonton Anime kegemaran saya,” katanya.

Apa yang pasti, menurutnya, biarpun ramai penyanyi Anime kini hadir di Jepun, dia sendiri tidak merasai perkara itu satu ancaman. Sebaliknya, kata Mami, hubungan mereka lebih rapat, apa lagi bukan kerap mereka dapat berjumpa.

“Saya tidak anggap ia satu persaingan kerana masing-masing ada corak perjuangan tersendiri. Contohnya, saya sendiri kini berpengkalan di Hokkaido manakala yang lain kebanyakannya di Tokyo.

“Bertemu dengan penyanyi Anime yang lain pun memang amat jarang. Selalunya sewaktu berkongsi pentas untuk persembahan sajalah kami dapat berjumpa serta berbual mesra,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");