Jenayah

Kegembiraan bertukar tragedi

BENTONG – Kegembiraan empat sehabat bermain air terjun di Hutan Lipur Air Terjun Chamang kelmarin, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas dibawa arus deras.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu, mangsa, Mohamad Taufiq Unizar, 22, dikatakan hanyut dan tenggelam ketika cuba menyeberang sungai.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihak polis menerima aduan pada 4.40 petang dan mengerahkan tiga pegawai serta 12 anggota polis ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari mangsa.

“Operasi terbabit turut dibantu tujuh anggota Bomba dan Penyelamat Bentong, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan dua kakitangan Jabatan Hutan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kali terakhir mangsa dilihat cuba menyeberangi air terjun terbabit dari tempat mangsa berada.

“Ketika cuba menyeberang, mangsa secara tiba-tiba hanyut dan tenggelam dibawa arus deras,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, operasi terpaksa dihentikan pada 7.40 malam kelmarin berikutan cuaca gelap menyukarkan operasi pencarian dan bersambung semula pada jam 8 pagi semalam.

“Keesokannya (semalam) anggota penyelamat bertindak menggunakan khidmat pasukan penyelam dari Bomba dan Penyelamat Temerloh bagi membantu operasi mencari mangsa,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik pula berkata, operasi mencari mangsa diteruskan pada jam 8.05 pagi semalam dan mangsa kemudiannya ditemui pada 12.05 tengah hari kira-kira pada jarak 1 kilometer dari lokasi hilang.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, seramai 21 anggota Bomba dan Penyelamat dikerahkan untuk mengesan mangsa di mana tujuh daripadanya adalah dari unit PPDA Zon 2, manakala seorang ketua dan 16 anggota dari Bomba dan Penyelamat Bentong.

Mangsa dikatakan berasal dari Mentakab dan bekerja di sebuah kedai kasut di Petaling Jaya, Selangor.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");