Isu Panas

Kemelut DAP, Pas kerana ‘perkahwinan politik’

BUKIT MERTAJAM – Kemelut yang melanda DAP dan Pas membuktikan kerjasama mereka adalah berpaksi kepada ‘perkahwinan politik yang diatur atas sebab-sebab tertentu, kata pengerusi MCA negeri Datuk Chew Mei Fun.

Beliau berkata kerjasama antara parti komponen perlu untuk menentukan sebuah kerajaan yang stabil dan jika kerjasama itu tidak wujud maka ia akan menjejaskan pembangunan negara.

“Terbukti kerjasama mereka (DAP dan Pas) atas ‘marriage of convenience’ dan bukannya bekerjasama atas prinsip, polisi dan idealistik. Mereka berbeza dan perkahwinan sebegini tidak akan kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyalurkan bantuan wang tunai daripada Yayasan Kebajikan Negara kepada mangsa ribut di Mukim 20, Penanti dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 10 April lepas, 100 rumah di sekitar Pulau Pinang termasuk 42 di Parlimen Permatang Pauh rosak manakala puluhan pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang.

Mei Fun, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata prinsip kerajaan BN adalah memberi perlindungan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan dan setiap bantuan akan disalurkan secara wajar.

Namun, katanya, beliau menerima lebih tiga aduan daripada mangsa ribut yang tidak mendapat bantuan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Ditanya pendekatan MCA dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dalam meraih undi, Mei Fun berkata MCA akan turun padang bagi mendekati pengundi dan berkhidmat secara ikhlas. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");