Panasnya Hari Ini

Kes Kanak-kanak Terjatuh Dari Tingkat 2 Kompleks Beli-belah Masih Dalam Siasatan

KEJADIAN malang menimpa seorang kanak-kanak  perempuan berusia enam tahun yang maut akibat terjatuh dari tingkat dua kompleks beli belah Kenanga Wholesale City Mall di Kuala Lumpur, Jumaat lalu, begitu menyayat hati.

Kanak-kanak perempuan tersebut dipercayai sedang bermain-main berhampiran dengan eskalator sebelum terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ini berdasarkan rakaman video yang dimuatnaik laman portal PerakToday.com.my yang menunjukkan kelibat kanak-kanak tersebut sedang bermain di tepi eskalator sebelum kejadian malang itu berlaku.

Selepas video tersebut menjadi viral di laman sosial, rata-rata pengguna meluahkan rasa sedih dan simpati mereka terhadap keluarga kanak-kanak malang tersebut.

Tidak kurang juga yang menyalahkan ibu kanak-kanak itu yang didakwa cuai mengawasi pergerakan anaknya kerana terlalu asyik menggunakan telefon bimbit.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah, kanak-kanak malang itu dikenali sebagai Nurhayada Sofia Musa dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Mangsa ke pusat beli-belah itu bersama-sama ibu bapanya, katanya.

“Punca kejadian masih disiasat,” katanya dipetik laporan Bernama.

Zainol turut berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Katanya,  kes itu masih dalam siasatan dan orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memberi pelbagai andaian negatif terhadap insiden tersebut.

Sebenarnya, ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam menjaga anak-anak mereka hingga menyebabkan kanak-kanak itu hilang, kemalangan atau kehilangan nyawa boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Memetik laporan Bernama, Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid berkata, perkara tentang kesalahan itu termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Jika disabit kesalahan, ibu bapa atau penjaga yang cuai boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui banyak kes ibu bapa yang cuai itu terlepas daripada tindakan undang-undang berikutan dasar kasihan pihak penguatkuasa terhadap penderitaan yang dihadapi oleh keluarga mangsa yang kehilangan anak mereka.

“Kita mempunyai undang-undang khusus di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] bagi melindungi hak seseorang kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Faridah berkata, beliau terkilan dengan sikap ambil mudah segelintir ibu bapa kini yang memandang remeh soal keselamatan anak mereka sehingga berlakunya kemalangan, kehilangan mahupun kematian.

“Seolah-olah menjadi satu trend pada masa kini terdapat ibu bapa yang sanggup meningggalkan anak mereka dalam kereta berjam-jam tanpa pengawalan orang dewasa semata-mata ingin membeli-belah di pasar raya.

“Saya masih ingat lagi satu kes yang berlaku di negara ini pada tahun lepas apabila seorang kanak-kanak mati lemas dalam kereta apabila ibunya terlupa ada membawa anak bersama ke pasar raya,” katanya.

Faridah berkata, perkara tersebut amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

Beliau berkata, ibu bapa adalah pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dan melindungi anak mereka daripada sebarang ancaman keselamatan dan mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");