Membawang Hari Ini

Sisi peribadi Marcell, Judika & Cakra Khan

KEKUATAN bakat dan keistimewaan karier nyanyian tiga superstar dari seberang Indonesia ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Biarpun kehadiran mereka dalam industri muzik seberang bermula daripada generasi berbeza, namun tiga trio memiliki persamaan dalam hala tuju karier masing-masing.

Buat penyanyi Marcell yang lebih awal meniti karier nyanyian, lambakan bakat baharu tidak sedikit pun menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi yang memiliki keunikan yang tersendiri.

Yakin dengan kebolehannya, Marcell tidak takut untuk meneruskan perjuangan muziknya bahkan terus gigih mencari originaliti dalam berkarya.

“Saya tidak takut dan tidak kisah mengenai hal itu tapi itu juga tidak bermakna saya tidak ambil peduli langsung.

“Dalam meneruskan karier ini, saya harus terus menghasilkan sesuatu yang menonjolkan bakat saya dengan cara atau muzik yang tersendiri. Peminat boleh memilih muzik jenis apa yang mereka suka dan jika mereka memilih saya, itu juga boleh dikatakan sebagai satu kekuatan.

“Dari segi positifnya pula, banyak perkara yang saya belajar dari kehadiran pendatang baru terutamanya dalam muzik yang mereka bawakan di mana saya juga boleh cuba eksperimen muzik yang saya akan bawa kelak,” jelasnya yang juga bersyukur kerana didukung oleh pihak pengurusan yang memahami hala tuju kariernya.

Mengakui bergelar seorang artis tidak semudah yang dijangka, penyanyi bersuara lantang, Judika juga tidak memandang soal persaingan sebagai masalah besar malah percaya pada rezeki yang telah tertulis.

“Sebagai penyanyi yang lahir daripada program realiti, saya sendiri merasakan program tersebut sangat membantu mereka yang benar-benar berbakat untuk menonjol.

“Saya sendiri telah melalui fasa itu dan apa yang penting kita perlu bersiap sedia dengan kehidupan sebagai artis kerana itu lebih mencabar.

“Sehingga hari ini, saya tidak rasa terancam dengan kehadiran bakat baharu kerana saya percaya rezeki masing-masing telah ditetapkan.

“Selama saya masih bertahan dan konsisten dengan penghasilan karya-karya yang baik, selagi itulah saya tidak perlu takut dengan persaingan yang kini semakin mencabar,” katanya.

Menganggap kariernya masih setahun jagung, pendatang baharu, Cakra Khan mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk memantapkan lagi bakat nyanyiannya.

“Sebenarnya saya tidak kisah jika nyanyian saya dikritik asalkan ia berasas dan tidak keterlaluan.

“Bagi saya kritikan yang membina juga mampu memberi impak positif kepada saya untuk menjadi yang lebih baik pada masa akan datang.

“Masih luas perjalanan saya dan sokongan daripada peminat adalah perkara paling berharga buat saya untuk meneruskan bidang ini,” ujarnya.

Sisi peribadi Marcell, Judika & Cakra Khan

Di sebalik nama dan kejayaan seseorang pastinya terselit seribu satu kisah yang berharga.

Tidak lokek berkongsi kisah peribadinya, Marcell atau nama sebenarnya Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, 37, mengakui kekuatan dan kejayaan yang diperoleh hari ini tidak akan tercapai tanpa kehadiran orang tersayang.

Dia yang kini mengacapi kebahagiaan bersama keluarga kecil yang dibina bersama isteri tercinta Rima Melati Adams teruja berkongsi pengalaman membesarkan cahaya mata mereka, Seth Ananda Siahaan berusia tujuh bulan.

“Sangat menyenangkan apabila bergelar seorang bapa selepas 10 tahun tidak merasai saat itu begitu juga dengan Rima. Rasanya seperti mengulangi memori lama.

“Walaupun sudah ada pengalaman tapi saya masih menyesuaikan diri menguruskan anak kecil kerana sudah lama tidak melaluinya.

“Tapi itu juga bukan alasan untuk saya melepaskan tanggungjawab sebagai bapa menguruskan keperluan Seth.

“Walau sesibuk mana pun saya akan cari masa untuk diluangkan bersama keluarga kerana itu adalah tugas saya,” katanya.

Akibat tidak tahan untuk berjauhan, Marcell memberitahu dirinya kerap membawa Seth dan Rima bersama jika terpaksa bekerja di luar kawasan.

“Saya memang tidak boleh berjauhan lama-lama dengan mereka. Lagi pun saya tidak boleh melepaskan Rima untuk menguruskan Seth sepenuh masa memandangkan dia memiliki masalah tulang belakang, jadi saya harus membantunya juga.

“Kadang-kadang kalau waktu bekerja saya akan jadi lebih penat sebab pada masa yang sama akan menjaga Seth. Tapi saya tidak seharusnya merungut kerana itu adalah tanggungjawab saya sebagai bapa dan suami,” katanya.

Sebelum ini, Marcell mempunyai seorang anak bernama Keenan Avaokita Kirana, 11, hasil perkahwinannya dengan komposer, Dewi Lestari manakala Rima yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga juga mempunyai seorang anak lelaki, Edga Ian Cook.

Judika sukar berenggang

Turut sama teruja dengan kehadiran cahaya mata pertama, Cleo Deora Boru Sihotang (Cleo) dalam keluarga yang dibina bersama wanita pilihan hati, Duma Riris, penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Yang Tersakiti ini akui sifat kebapaannya semakin terserlah.

Selepas lima bulan memegang status sebagai seorang bapa, Judika akui tidak mudah berenggang dengan puteri sulangnya itu.

“Ini adalah pengalaman baharu dan berharga buat saya. Pengalaman menguruskan anak buat saya mengetahui lebih banyak perkara terutamanya dalam soal keperluan bayi.

“Bila sudah terbiasa, susah untuk saya berenggang dengannya. Mahu sahaja bawa ke mana saya pergi tapi memandangkan usianya masih kecil, saya dan isteri tidak berani,” katanya.

Pada masa yang sama, Judika juga sempat berkongsi kisah lucu dirinya pernah terlepas penerbangan sebanyak tiga kali untuk mengadakan persembahan di luar Jakarta gara-gara terlalu asyik mendukung dan melayani kerenah anaknya.

“Rasa seperti tidak puas, tapi atas tuntutan kerja saya juga terpaksa akur. Bila berjauhan memang rasa rindu dan selalunya saya akan kerap berinteraksi bersamanya menerusi Skype dan Facetime.

“Kehadiran Cleo dalam hidup kami memang memberi seribu satu makna yang saya sendiri tidak dapat ungkapkan,” katanya sambil tertawa kecil.

Tolak cinta demi ibu: Cakra Khan

Memandangkan usianya baharu mencecah 24 tahun, Cakra akui belum tiba masa untuk dirinya lebih serius memikirkan soal jodoh.

Malah sebagai seorang anak, Cakra lebih memberi tumpuannya untuk memberi kesenangan dan keselesaan buat ibu kesayangannya.

“Kalau tanya soal teman wanita istimewa, saya belum ada lagi. Buat masa ini saya berkawan dengan semua orang.

“Lagi pun saya masih muda dan karier saya juga masih mentah. Jadi saya mahu beri sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian terlebih dahulu.

“Masih jauh perjalanan saya malah saya masih belum puas membahagiakan ibu saya yang tidak pernah putus mendoakan kejayaan saya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Cakra yang sedang sibuk dengan pembikinan album keduanya, turut menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran.

“Sebenarnya memang saya amat meminati Sheeran tapi untuk kolaborasi ini ia masih dalam proses perbincangan awal. Saya tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi, tapi kalau ia benar-benar berlaku itu menjadi bonus buat saya,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");