Sukan Hari Ini

Misi beregu negara lebur

MISI dua pasangan beregu negara untuk melangkah ke pentas akhir kejohanan badminton Grand Prix (GP) Emas China Masters 2015 tidak kesampaian apabila kecundang kepada lawan masing-masing di separuh akhir, semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Changzhou, China itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang turun selaku pilihan pertama bagaimanapun tidak mampu menandingi kehebatan pasangan muda China apabila tewas mudah kepada Tang Jianhua-Zhong Qianxin dalam masa 40 minit.

Namun, pujian harus diberikan kepada pasangan beregu negara itu apabila hampir mengejutkan gandingan tuan rumah itu pada set pertama sebelum tewas 21-23.

Pasangan negara itu cuba memberikan tentangan pada set kedua, namun ketangkasan yang dipamerkan pasangan tuan rumah menyebabkan mereka terpaksa akur dan akhirnya tumpas 9-21.

Menurut Vivian, mereka tidak bermain dengan baik, sekali gus menyebabkan pemain lawan mampu mengutip mata dalam tempoh singkat khususnya set kedua.

“Kami tidak mampu bermain mengikut rentak sendiri dan sering melakukan kesilapan terutama pada set kedua.

“Kami juga hilang fokus, mungkin kerana terlalu teringin beraksi cemerlang sehingga kami tewas kepada diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara pula, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga gagal menempah slot ke pentas akhir apabila kalah kepada pasangan pilihan dari China, Liu Cheng-Bao Yixin 17-21, 21-17, 17-21

Keputusan itu menyaksikan cabaran negara dalam kejohanan tersebut berakhir dan skrip sama berulang seperti mana kejohanan sebelum ini.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");