Membawang Hari Ini

Perspektif baharu Nazim

SETIBANYA di lokasi yang dijanjikan, jam di tangan menunjukkan hampir pukul 1 petang. Sebelum agenda yang direncanakan dimulakan dengan tertib, cuaca sedikit redup pada petang yang mendamaikan itu memberi petanda bahawa semuanya akan berlangsung sempurna.

Di pintu masuk banglo putih yang menjadi saksi pertemuan petang itu, kelihatan satu sosok tubuh seorang lelaki sedikit berisi. Dia melemparkan senyuman dan menyapa dengan ramah.

Lelaki itu, Nazim Othman yang pernah menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas disahkan menghidap penyakit ketumbuhan pada otak sekitar Januari lalu.

Spekulasi mengenai berita itu mula bertebaran selepas dia memuat naik sekeping gambar Imbasan Magnetik Resonans (MRI) kepalanya dalam laman Instagram miliknya, pada 18 Februari lalu.

Namun, pendirian pelakon yang membesar di Johor Bahru itu untuk mengambil pendekatan tidak bercerita lanjut mengenai penyakit tersebut kepada umum menyebabkan ada yang beranggapan dia menghidap kanser otak.

Dia juga mengelak untuk berkongsi tragedi hidupnya dengan media. Tidak lari, Nazim sebaliknya dengan sopan menolak diajak berbicara, tetapi memohon doa agar semua penyakit yang dihidapinya dihapus pergi dengan baik.

Dalam diam, Nazim selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta pada 6 Mac lalu.

Selepas pembedahan, pelakon yang terkenal menerusi drama Kau Yang Terindah itu hanya muncul sekali di kaca televisyen berkongsi tentang kecekalan dan ketabahannya menerima dugaan yang diberi.

Tatkala Kosmo! meminta untuk bertemu dalam satu sesi temu ramah dua minggu lepas, Nazim memberikan maklum balas yang positif. Lantas, peluang tersebut digunakan sebaik mungkin untuk menyingkap dengan lebih terperinci sisi dirinya selepas sembuh daripada derita penyakit itu.

Buat pertama kalinya selepas sembuh, pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman itu berbicara kepada media cetak tentang kehidupan baharunya yang disifatkan seperti dilahirkan semula.

Sihat

Dalam nada perlahan, sesekali suara Nazim tenggelam timbul apabila berlatarbelakangkan suasana hingar bingar kedengaran bunyi-bunyi kerja pembinaan berhampiran kami.

Di sebalik kaca mata hitamnya, masih dapat dikesan pelakon drama Dejavu Di Kinabalu itu dilihat merenung jauh ke sudut lain tatkala sedang asyik berbicara tentang keadaan dirinya yang kini semakin sihat.

“Alhamdulillah sekarang saya sudah sihat dan baik-baik saja,” tutur jejaka berkulit hitam manis itu mesra sambil mengulum senyum tatkala ditanya mengenai bekas luka pembedahan yang boleh dilihat jelas pada sebelah kanan kepalanya.

Duduk berdua di atas sebuah bangku, perlahan-lahan Nazim berbicara mengenai hidupnya kini yang beransur kembali normal seperti sediakala.

Tersenyum besar ketika penulis berkata, diri Nazim yang kini sudah banyak berubah. Jika dahulu dia dilihat sebagai seorang yang agak lantang bersuara tentang perkara yang tidak disukainya, namun kini tidak lagi. Apa yang dilihat, Nazim berubah menjadi seorang lelaki yang matang dalam jiwa, percakapan mahupun pertuturan.

“Dahulu saya memang seorang yang lantang. Apa yang saya tidak suka, akan diluahkan kepada orang yang terbabit. Sikap lantang itu bukanlah disebabkan saya sejenis yang cerewet atau erti kata lainnya banyak songeh. Bagaimanapun, itu cara saya untuk mengekpresikan perasaan suka atau tidak terhadap sesuatu perkara.

“Sekarang, apabila diberi ujian oleh Tuhan dengan penyakit besar seperti ini, saya berubah secara total. Jujur, dalam proses hidup yang saya lalui sepanjang sakit, saya menemui ketenangan dalam hati.

“Sejak saya melalui fasa tenang ini, banyak benda baharu saya belajar. Misalnya, tidak semestinya benda yang tidak baik pada mata kita perlu disuarakan dengan lantang. Ada sesetengah perkara, biarlah ia disimpan di dalam hati sahaja,” tutur pelakon yang mula membina nama dalam industri menerusi drama Frontpage itu diselangi ketawa kecil.

Fitrah

Sejak episod duka menyelubung hidupnya, tidak dinafikan dia banyak berbicara soal kehidupan daripada sudut perspektif baharu. Dalam erti kata lain, Nazim mengalami perubahan ketara mengenai jalan hidupnya.

“Bukan sedakar menjadi begitu alim, cuma sakit itu mengubah perspektif dalam diri saya ke arah yang lebih besar. Sekarang saya pandang kehidupan dengan sudut yang sangat berbeza. Hidup saya lebih tenang, tanpa tekanan.

“Apa pun yang manusia buat, Allah melihat. Selepas selamat daripada ambang maut, perasaan syukur yang terbit dalam sanubari begitu dalam. Siapa yang menentukan soal jodoh dan maut jika bukan Dia?

“Kalau boleh saya tidak mahu berbicara lanjut mengenai perkara ini. Nanti orang boleh salah faham dan label saya riak. Cukuplah kalau saya mengenal diri dan Tuhan.

“Tuhan jentik hati saya dengan ketenangan. Jadi, tidak perlu bercakap panjang mengenai ini pun (dugaan), semua orang boleh faham mengapa saya berubah,” tuturnya tenang dengan senyum mesra.

Elak bersentuhan

Apabila berbicara mengenai kerjaya, Nazim tersenyum bahagia. Tuturnya, benarlah kata orang. Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah tersembunyi. Buktinya, sejurus selepas sembuh daripada pembedahan, tawaran berlakon yang diterima Nazim semakin banyak.

Sambil berseloroh, jadualnya kini sudah padat dengan aktiviti lakonan sehingga bulan Ogos depan. Kini, dia sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Bodyguard untuk slot Ratu di TV9. Drama tersebut merupakan lakonan keduanya selepas sembuh daripada pembedahan. Terdahulu, telemovie pertama lakonannya berjudul Pen Merah Pen Biru disiarkan pada hari ini di saluran Astro Ria.

“Alhamdulillah. Bersyukur sangat kerana orang dalam industri masih memerlukan saya sebagai pelakon. Dahulu saya fikir mereka tidak mahu ambil saya berlakon kerana kesan parut yang besar pada bahagian kepala kelihatan agak hodoh.

“Namun, sangkaan saya meleset. Tawaran semakin banyak dan tidak putus-putus. Rahsia Allah itu sangat luas sehingga manusia memang tidak mampu menafsir hikmah di sebalik ujian yang diterima,” tutur Nazim mendalam.

Belum sempat disoal tentang sikap selektifnya memilih watak, Nazim terbuka mengaku bahawa dia nekad dengan keputusan untuk tidak mahu lagi melakonkan babak romantis yang memerlukan adegan bersentuhan.

“Cukuplah drama Bodyguard ini merupakan cerita terakhir saya melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita. Untuk drama ini saya terpaksa lakukan kerana tawaran sudah diterima sebelum disahkan sakit lagi.

“Selepas ini, saya nekad dan inilah keputusan itu. Kata orang, kerjaya pelakon perlu versatil dan mencuba semua perkara. Ya, dahulu saya bersetuju dengan pepatah itu itu, tetapi perspektif saya kini sudah berubah. Bukan semata-mata kerana adegan bersentuhan dengan wanita yang buat kerjaya kita berjaya. Banyak lagi cara lain untuk melakonkan babak romantis tanpa perlu bersentuhan.

“Tuntutan kerja memang begitu tetapi dosa dan pahala, saya yang tanggung. Andai ada pihak yang melabelkan saya berlagak alim, itu terpulang. Saya tidak kisah kerana hidup saya, biar saya yang tentukan semuanya,” tegas Nazim di sebalik senyuman ceria.

-Kosmo!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");