Jenayah

Polis tahan dua lelaki terlibat samun bersenjata

GEORGETOWN – Dua lelaki yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun bersenjata di sekitar daerah Timur Laut, ditahan dalam dua serbuan di Air Itam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, bertindak hasil risikan, sepasukan polis menahan lelaki pertama berusia 23 tahun di Kampung Melayu kira-kira pukul 2.30 petang manakala rakannya juga berumur 23 tahun ditahan sejam kemudian di Bandar Baru Air Itam.

“Dua lelaki itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan yang kerugian RM1,500 selepas disamun dua lelaki di sebuah bangunan di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini kira-kira pukul 8.30 malam Ahad.

“Ketika kejadian mangsa sedang bertugas di bangunan berkenaan apabila dua lelaki menunggang sebuah motosikal menghampirinya dan seorang daripada mereka memegang sebilah parang sambil mengarahkan pengawal keselamatan terbabit diam serta menyerahkan wang tunai, jam tangan berjenama dan telefon bimbit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata setelah mengambil barangan mangsa, dua lelaki terbabit, seorang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang lagi menganggur, melarikan diri.

Mior Faridalatrash berkata, susulan penahanan dua lelaki berkenaan, polis menemui semula barangan milik mangsa iaitu telefon bimbit dan jam tangan serta merampas sebilah parang.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal, telefon bimbit, serangkai kunci dan topi kalendar daripada dua lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan dua lelaki yang positif dadah itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");