Sukan Hari Ini

Presiden BAM kecewa

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr Tengku Mahaleel Tengku Ariff kecewa dengan keputusan diraih pemain badminton negara pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015.

Menurutnya, pemain bukan sahaja gagal mempamer aksi meyakinkan, malah langsung tidak menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun beraksi di halaman sendiri.

“Sememangnya BAM tidak puas hati dengan keputusan itu, bukan sahaja kerana kita tidak berada dalam perlawanan itu, malah jika kita berada dalam final sekali pun, kita tak boleh mudah berpuas hati dengan apa yang ada,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BAM dan Persatuan Bulu tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) untuk bekerjasama dalam program pembangunan sukan itu di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan tiada wakil negara selepas kesemua pemain kecundang di peringat awal, dan untuk pertama kalinya, tiada pemain Malaysia bermain dalam kategori perseorangan lelaki yang menjadi tarikan utama dalam kejohanan berprestij itu.

Semua tiga perseorangan lelaki negara yang bernaung di bawah BAM, Chong Wei Feng, Liew Daren dan Goh Soon Huat tersingkir dalam pusingan kelayakan, beregu campuran Tan Aik Quan-Lai Pei Jing juga gagal menempatkan diri dalam undian utama, manakala gandingan beregu lelaki gagal mempertahankan kejuaraan selepas pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersingkir seawal pusingan pembukaan.

Harapan untuk melihat juara India Masters, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho melangkah jauh juga tidak kesampaian apabila mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Jerman, Isabel Herttrich-Birgit Michels pada pusingan kedua beregu wanita, sekali gus meninggalkan Vivian Hoo-Woon Khe Wei sebagai wakil tunggal Malaysia mara ke suku akhir, yang juga kecundang, kelmarin.

Di sebalik aksi hambar itu, Tengku Mahaleel tetap mempunyai nada keyakinan yang Malaysia boleh bangkit semula dalam masa dua atau tiga tahun untuk mencapai prestasi peringkat tertinggi.

“Saya yakin dengan kepakaran dimiliki jurulatih negara termasuk kehadiran Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM), kita akan dapat mengatasi masalah kemerosotan prestasi pemain dan saya yakin prestasi pemain kita akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Frost berkata, beliau masih memerlukan sedikit masa untuk meningkatkan permainan ke tahap lebih tinggi khususnya pemain perseorangan lelaki.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");