Isu Panas

PRK: ‘Kritikan Tun M macam ceramah percuma untuk Pakatan Rakyat’ – Soi Lek

KUALA LUMPUR: Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Najib Tun Razak akhir-akhir ini diibarat ceramah percuma untuk menarik pengundi menyokong calon Pakatan Rakyat semasa pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin pada Mei ini.

Bekas presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, tindakan Dr Mahathir itu dilihat lebih kepada langkah merosakkan kredibiliti Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) daripada usaha membantu memberi kemenangan parti pada kedua-dua PRK berkenaan.

“Sebagai bekas perdana menteri, Dr Mahathir perlu berbincang dengan Najib. Jika Dr Mahathir rasa Najib salah, dia boleh ‘sepak’ sahaja perdana menteri tetapi perlu dilakukan secara tertutup.

“Apa yang dilakukan Dr Mahathir banyak memusnahkan BN dan akhirnya membawa kerugian kepada parti.

“Kita tidak tahu apa matlamat Dr Mahathir buat semua ini kepada Najib, namun ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Isnin, bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, Dr Mahathir harus bersemuka dan berbincang dengan Najib sebelum mengeluarkan sebarang kritikan secara terbuka.

Kata Samy Vellu, Dr Mahathir sebagai veteran yang disanjungi ramai seharusnya sedar bahawa Najib merupakan seorang pemimpin yang senang dibawa berbincang.

Dalam pada itu Soi Lek menambah, semua kritikan Dr Mahathir akan digunakan sepenuhnya pada PRK Rompin dan Permatang Pauh dalam ceramah Pakatan Rakyat.

“Semua isi kandungan hujah Dr Mahathir digunakan sepenuhnya oleh pembangkang dalam siri ceramah mereka. Ini ibarat Dr Mahathir yang memberi ceramah percuma kepada pengundi pembangkang. Suka atau tidak ia sudah terjadi.

“Semua hujah Dr Mahathir akan digunakan sepenuhnya dan diperalatkan pembangkang untuk kepentingan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu ketika ditanya situasi semasa Soi Lek dan penglibatannya dalam politik hari ini, ini katanya;

“Sekarang masih OK, walupun umur sudah 68 tetapi hati masih seperti orang muda jika berjalan dan naik bukit.”

Semasa menjadi Presiden MCA, Soi Lek pernah meminta BN untuk menyediakan polisi yang inklusif dan tidak akan ditafsirkan sebagai menghukum masyarakat Cina.

-Astro Awani

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");