Membawang Hari Ini

Serasi kongsi kejayaan

Tiga minggu bersaing dalam program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang, persembahan kumpulan Titan dianggotai Fazlisham Mat Hussin atau Issey, 28, dan Azizul Ammar Abu Hassan (Ammar), 28, cukup menyerlah.

Justeru, tidak hairanlah apabila pada saingan minggu kedua lalu Titan berjaya membawa pulang hadiah mingguan RM10,000 yang dipertaruhkan.

Berbicara mengenai strategi Titan, Issey berkata, setiap minggu cabaran tugasan diberi agak berat dan ia memerlukan dia dan Ammar lebih kreatif memikirkan idea.

“Bukan mudah sebenarnya kami mendapatkan idea lucu untuk dijadikan bahan hiburan kepada penonton pada setiap minggu. Tetapi, itulah cabarannya.

“Bagaimanapun, memandangkan saya dan Ammar serasi bekerjasama maka ia memudahkan kami berbincang serta membuat keputusan.

“Tak dinafikan, saingan kumpulan bertanding seperti Bocik, Kepoh, Chilok, Sumbu dan satu-satunya perserta solo, Achey cukup memberi kami tamparan hebat.

“Mereka semua cukup berbakat dan banyak idea dalam lawak dipersembahkan. Jadi, Titan perlu peka dan lebih kreatif,” katanya.

Memaklumkan Titan turut meletak sasaran untuk beraksi hingga ke final program itu, Issey berkata kerja keras, usaha dan saling membantu menjadi kunci utama.

Katanya, bukan saja kerjasama harus seiring di antara dia dan Ammar, tetapi keserasian juga perlu digabungkan dengan artis undangan setiap minggu.

Menurut Issey, setakat ini, barisan artis undangan yang sudah dipilih Titan seperti Aisya Hasnaa, Anas Ridzuan dan Zulin Aziz cukup memberikan kerjasama dan komitmen yang baik.

Ammar pula berkata, Titan juga sebenarnya masih mendapatkan bimbingan mentor mereka, Sabri Yunus yang banyak membantu berkongsi idea.

“Selain saya dan Issey bergabung memerah otak mencari idea bersama, kami juga tidak lupa mendapatkan padangan daripada abang Sabri.

“Beliau banyak membantu dan tidak lokek ilmu kepada kami. Bersandarkan tunjuk ajar dan bimbingan diberi abang Sabri, Titan semakin bergerak maju.

“Saya dan Issey sedaya upaya mengatur strategi Titan sebaik mungkin meskipun menyedari peserta lain seperti Bocik dan Achey sudah cukup dikenali peminat,” katanya.

Bahkan, katanya Titan yang tidak memandang rendah pada kemampuan kumpulan lain dan disebabkan itu mereka membuat persembahan bersungguh-sungguh.

Menurut Ammar lagi, menyedari program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang itu satu pertandingan maka Titan sekadar menyahut cabaran. Ujarnya, apa yang diharap Titan adalah kejayaan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");