Berita Hari Ini

Syarikat tidak rugi jika serap GST

SHAH ALAM – Syarikat yang mengambil langkah untuk menyerap GST akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam perniagaan.

Ketua Jabatan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fatimah Kari berkata, inisiatif itu merupakan salah satu strategi perniagaan yang baik kepada syarikat.

“Menyerap GST bermaksud pengguna tidak perlu membayar GST. Oleh itu, pengguna akan lebih memilih untuk membeli-belah di syarikat berkenaan.

“Jika banyak syarikat berbuat demikian ia akan memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak iaitu syarikat dan pengguna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, secara tidak langsung wujud persaingan sihat antara syarikat yang tidak mengenakan GST kepada pengguna.

Fatimah turut mengalu-alukan inisiatif seumpama itu dalam kalangan syarikat tempatan sempena pelaksanaan GST bagi menarik perhatian pengguna.

“Sepatutnya peniaga yang tidak ‘tamak’ mengambil langkah itu sebagai instrumen untuk bersaing,” katanya.

Mengulas berhubung keuntungan yang diperoleh syarikat, Fatimah berkata, sepatutnya perniagaan yang berdaftar tidak mendapat sebarang kerugian apabila menyerap GST kerana syarikat akan mendapat semula rebat daripada kerajaan sekiranya melaporkan jualan kepada kerajaan.

Fatimah turut menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna yang bermaklumat bagi mengelak menjadi mangsa peniaga yang menipu sempena pelaksanaan GST ini.

“Mahu atau tidak mahu, pandai atau tidak pandai, GST telah menjadi salah satu sistem cukai kita. Kita perlu sama-sama membanteras peniaga yang mengambil kesempatan ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Dr Baayah Baba berkata, kenaikan harga barang dan inflasi tidak akan berlaku sekiranya banyak syarikat mengambil langkah menyerap cukai baharu tersebut.

“Tidak menjadi masalah kepada syarikat untuk menyerap GST kerana syarikat berdaftar dengan GST boleh menuntut semula GST berkenaan untuk digunakan semula bagi kos-kos lain.

“Syarikat masih akan mendapat untung walaupun menyerap GST bagi pihak pengguna,” katanya.

Menurutnya, langkah itu merupakan langkah yang baik dilakukan oleh syarikat dalam usaha untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk menstabilkan harga di pasaran.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");