Isu Panas

Telefon jadi pengubat rindu isteri calon BN

ROMPIN – Kesibukan berkempen sejak hari penamaan calon, Selasa lalu menyebabkan calon BN pada PRK Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin, jarang dapat berjumpa keluarganya.

Isterinya, Datin Rozidah Karim, 57, berkata dalam keadaan begini, hanya telefon menjadi ‘pengubat rindu’ untuk mereka saling bertanya khabar.

“Kami berhubung pada sebelah pagi, selepas solat Subuh kerana jadual beliau baru hendak bermula. Itu pun tidak lama. Namun cukup untuk saya tahu beliau berada dalam keadaan baik,” katanya kepada Bernama.

Menurut Rozidah, sejak awal lagi, suaminya telah memaklumkan kepadanya bahawa kawasan Parlimen Rompin terlalu luas, diibaratkan Hasan ‘boleh memuatkan Melaka dan Negeri Sembilan’, sekali gus menyebabkan jadual kempen beliau terlalu ketat.

Parlimen Rompin yang berkeluasan 5,390.2 meter persegi dengan 147,000 penduduk turut mengandungi tiga kawasan Dun iaitu Tioman, Muadzam Shah dan Bukit Ibam dan terletak di selatan pantai timur berhadapan Laut China Selatan.

Sementara itu, jarak antara satu Dun dengan satu Dun yang lain ialah antara 40 kilometer dan 100 kilometer, melalui jalan negeri.

Rozidah tidak pernah menyangka suaminya akan kembali bertanding dalam pilihan raya, selepas kali terakhir pada 11 tahun lepas.

“Tapi ini bukan benda baharu juga. Walaupun tidak menjawat sebarang jawatan, Datuk (Hasan) tetap rajin turun padang dan jika ada yang meminta tolong, akan cuba dibantu sebaik mungkin.

“Sehingga ada suatu ketika, saya pernah minta beliau untuk tidak terlalu ke depan kerana bimbang jika ada yang berkecil hati dengan perbuatannya. Tapi Datuk katakan, bagaimana beliau mahu berkata ‘tidak’ kepada orang yang meminta tolong darinya,” katanya.

Hasan, 62, pernah menjadi Adun Rompin pada tahun 1982 hingga 1990 dan Adun Bukit Ibam dari tahun 1990 hingga 2004, selain menjadi Exco kerajaan negeri dan timbalan menteri besar selama empat tahun bermula 1995.

Rozidah yang berkahwin dengan Hasan 35 tahun yang lepas menyifatkan suaminya sebagai seorang yang mudah didekati, boleh dibawa berbincang dan penyabar.

Mereka dikurniakan empat orang anak Mohd Fahrizal, 34, yang merupakan seorang ahli perniagaan, Farahiyah, 32, (ketua komunikasi korporat), Shahida, 25, (juruaudit eksekutif) dan Muhammad Ashraf, 22, (eksekutif teknologi maklumat).

Rozidah berkata, mereka sekeluarga turut turun membantu Hasan berkempen, dengan anak-anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur bercuti bagi meraih sokongan daripada generasi muda.

Hasan dicabar oleh calon Pas Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Rompin selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");