Sukan Hari Ini

24 pemain perkuat Pilihan Malaysia

KUALA LUMPUR – Lima pemain import seperti yang diperkatakan sebelum ini iaitu Guiherme De Paula, Robert Cornthwaite (Selangor), Paulo Rangel (Terengganu), Nam Kung Wong (Perak) dan Ali Ashfaq (PDRM) sudah pasti akan memperkuatkan cabaran Pilihan Malaysia bagi bertemu Tottenham Hotspur, 27 Mei ini di Stadium Shah Alam.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelima-lima pemain ini bersama 19 pemain tempatan lain wajib menghadiri latihan pusat pertama Fasa Pertama pada Ahad ini di Wisma FAM.

Bagi slot pemain tempatan, tiada sebarang kejutan ketara ke­cuali dua nama, Christie Jayaseelan (Felda United) dan Yong Kuong Yong (Pulau Pinang) yang sudah lama tidak dipanggil menganggotai skuad kebangsaan kembali memikat jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh.

Selain itu, kemampuan yang dimiliki penjaga gol Harimau Muda B, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid menidakkan peluang penjaga gol lebih senior apabila dia turut terpilih untuk bergandingan bersama Khairul Fahmi Che Mat dari Kelantan.

Di jentera serangan, penyerang Kelantan, Mohd. Norfarhan Mohamad yang tidak terpilih beraksi di Piala AFF 2014 disenaraikan bersama penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha, pemain veteran Felda, Indra Putra Mahayuddin serta dua tonggak yang semakin menyerlah di Selangor, Mohd. Afiq Azmi dan Ahmad Hazwan Bakri.

Bagi bahagian tengah, aksi cemerlang dipamerkan oleh ke­tua pasukan Perak, Mohd. Nasir Basharudin membuka ruang kepada dirinya untuk beraksi dengan pemain lain seperti Joseph Kalang Tie (Sarawak), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Ahmad Syamim Yahya (Felda United).

Sementara itu, kelibat dua pemain pertahanan PDRM, Mohd. Afif Amiruddin dan Mohd. Muslim Ahmad terus mendapat kepercayaan Dollah walaupun kelab yang berada di tangga kedua Liga Super itu mencatat angka bolos yang agak tinggi iaitu 18 jaringan.

Pemain lain yang akan memberi saingan di bahagian pertahanan ialah Ronny Harun (Sarawak), Nik Mohd Shahrul Azim Ab. Halim (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu) dan Azmi Muslim(Selangor).

Tiga pemain iaitu Zamir Selamat (Perak), Abdul Manaf Mamat (Terengganu) dan Wan Zack Haikal Wan Noor (Kelantan) berada dalam senarai menunggu jika ada mana-mana pemain laing mengalami kecederaan.

Untuk fasa kedua, tujuh daripada 19 pemain daripada fasa pertama ini akan terpilih menjalani latihan yang dirancang bermula 28 Mei hingga 17 Jun.

Latihan itu akan turut disertai pemain dari JDT dan Pahang bagi menghadapi tiga perlawanan antarabangsa, termasuk dua pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 sebelum tiga pemain digugurkan selepas perlawanan persahabatan bertemu Hong Kong pada 6 Jun.

Seramai 13 pemain JDT yang tersenarai ialah Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan, Mohd. Fadhli Shas, S. Kunanlan, Muhd.

Aidil Zafuan Abdul Razak, Mahalli Jasuli, Junior Eldstal, Safiq Rahim, Gary Steven Robbat, Nazrin Nawi, S. Chanturu, Mohd. Amri Yahyah dan Safee Sali.

Bagi pemain Pahang, enam yang terpilih ialah Mohd. Hafiz Kamal, Matthew Davies, Razman Roslan, R. Gopinathan, Azammuddin Akil dan ohd.

Khairul Azhan Mohd. Khalid. Namun, jika Pahang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada hari ini menentang Global FC dari Filipina maka mereka wajib datang menjalani latihan fasa pertama. – http://www.utusan.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");