Jenayah

‘Sindiket babit orang dalam’

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan pembabitan ‘orang dalam’ berkait rantaian sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia membabitkan laluan sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di utara semenanjung.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya kini dalam peringkat mengumpul maklumat berkaitan perkara itu.

Beliau berkata, polis juga mengadakan pertemuan dengan polis Thailand untuk mengadakan kerjasama rapat supaya isu itu dibendung.

“Buat masa ini polis menjalankan pertukaran maklumat dengan polis Thailand. Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) sekarang berada di sana (Thailand) bagi membincangkan berkenaan perkara ini.

“Setakat ini tiada anggota polis terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Bagaimanapun, kami tak nafikan mungkin ada…kami pantau anggota,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Puluhan mayat ditemui di sempadan Thailand-Malaysia, baru-baru ini selain tiga lagi tempat disyaki dijadikan kem penampungan atau transit juga ditemui pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, walaupun Malaysia memberi layanan baik atas faktor kemanusiaan, pendatang asing tanpa izin (PATI) tetap tertakluk kepada kedaulatan undang-undang negara ini.

“Kami mengenal pasti status mereka PATI. Apa yang kami perlu buat ialah bekerjasama dengan pelbagai pihak. Sekarang kami dalam proses mengenal pasti sama ada mereka berketurunan Rohingya ataupun Bangladesh,” katanya.

Wan Junaidi berkata, rekod KDN menunjukkan tiada pembabitan rakyat negara ini dan dalangnya adalah orang luar Malaysia yang menjalankan kegiatan di sempadan negara.

“Setakat ini belum ada bukti rakyat Malaysia terbabit aktiviti pemerdagangan orang ini,” katanya.

Sementara itu, laman web akhbar The Daily Star melaporkan, Datuk Bandar Padang Besar, Thailand Bannajong Pongphol ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia di wilayah itu.

Bannajong dan seorang lagi ahli politik tempatan dikenali sebagai Abu Ha-ura ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu. Turut ditahan, bekas pembantu Bannajong, Suphoj Muensew.

Mereka ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan penemuan sejumlah mayat pendatang di Gunung Kaew di Tambon, Padang Besar.

Ketua polis Thailand, Somyot Poompanmoung berkata, Suphoj ketika ini menghadapi perbicaraan selepas didakwa atas tuduhan cubaan membunuh pada 2013.

“Kami masih menyiasat kemungkinan ketiga-tiga individu itu terbabit dalam kematian pelarian Rohingya dan Bangladesh yang mayat mereka ditemui baru-baru ini,” katanya.

Minggu lalu, Poompanmoung menukar 50 pegawai polis di wilayah itu kerana mereka tidak mengambil tindakan walaupun menyedari aktiviti penyeludupan manusia berlaku di situ.

Timbalan Datuk Bandar Padang Besar, Prasit Lemleh menyerah diri kepada polis dan ditahan untuk disoal siasat.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");