Membawang Hari Ini

Detik penentuan

Pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 yang diangkat menjadi rancangan realiti TV di Astro Ria, sampai ke kemuncuknya malam ini selepas bersiaran lebih tujuh minggu.

Hanya lima yang terbaik layak ke peringkat akhir selepas diuji dari sudut personaliti dan kemahiran berfikir.

Mereka ialah Raysha Rizrose, 18; Syamim Farid, 23; Balqish Maarif, 25, Deeba Halil, 24, dan Mawar Rashid, 19. Bakal disiarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria (104) dan siaran serentak di Maya HD (135), jam 10 malam ini, penonton akan mengetahui siapa yang bakal muncul juara dan meraih hadiah bernilai RM10,000.

Program khas Dewi Remaja 2014/2015 dihoskan bekas juara Hero Remaja 2008, Kamal Adli dan pengacara hlive!, She Nabilla.

Pencarian Dewi Remaja 2014/2015 bermula Ogos tahun lalu menerusi sesi uji bakat dianjurkan majalah Dewi Remaja.

Seramai 18 peserta dipilih menerusi sesi saringan dan selama 7 minggu, mereka diuji dengan beberapa cabaran seperti pengacaraan, lakonan, imej, solekan, peragaan dan juga fotografi.

Ia mula menjadi perhatian apabila timbul kontroversi membabitkan Mawar yang gagal menjawab soalan diajukan pengacara mengenai isu Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dengan baik.

Perkara itu menimbulkan kemarahan umum apabila turut dibincangkan di laman sosial hingga ada mengatakan peserta Dewi Remaja sepatutnya mewakili suara generasi muda yang bijak tetapi sebaliknya mereka tidak sensitif dan tidak pernah mengambil peduli perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Mawar yang memiliki diploma dalam bidang pengajian perniagaan mengakui kesilapan dilakukan kerana kurang peka dengan isu ekonomi negara.

“Kesibukan dengan pelajaran dan menguruskan perniagaan sendiri membuatkan saya lalai mengenai isu semasa. Mungkin ada juga remaja sebaya saya turut kurang pasti mengenai isu GST. Tambah pula isu ditanyakan itu sebelum pelaksanaannya dilakukan memandangkan rakaman program dibuat lebih awal.

“Ketika itu saya tidak faham mengenainya dan memandangkan saya menyertai pertandingan Dewi Remaja sebaik pengacara bertanya, saya cuba memberikan jawapan.

“Jujur saya tidak bersedia dan sangat gementar ketika itu apatah lagi penemuramah dan pihak produksi merancang memberi tekanan untuk menguji saya,” katanya ketika ditemui sewaktu sesi fotografi khas bersama Selebriti, Metro Ahad baru-baru ini.

Peserta dari Kelantan itu akui isu berkenaan memberi impak kepada penonton yang menyaksikan program itu kerana soalan ditanya berupa isu sensitif di Malaysia.

Disebabkan itu juga, Mawar memohon maaf kepada semua dan mengambil setiap kritikan dan teguran untuk memperbaiki diri selepas ini.

Bagi Raysha, apa yang berlaku kepada Mawar adalah salah faham memandangkan waktu itu situasi dan suasana sangat tegang apatah lagi ramai yang tidak tahu rakaman program itu dijalankan sebelum pelaksanaan GST.

“Saya secara peribadi tidak menyalahkan Mawar di atas ketidakpekaannya, sebaliknya mengambilnya sebagai iktibar kepada semua.

“Waktu sama saya menolak sekeras-kerasnya dakwaan me­ngatakan Dewi Remaja tahun ini tidak mencerminkan kebijaksanaan.

“Hakikatnya hidup dalam era canggih ini membuatkan orang awam lebih tertumpu kepada menjatuhkan mental seseorang individu melalui media sosial. Saya harap apa yang terjadi ini menjadi iktibar dan teladan kepada semua,” katanya.
Selama tujuh minggu bersaing sesama sendiri, banyak pengalaman ditimba dan membantu mereka untuk membina keyakinan diri.

Bagi Syamim yang pernah menjadi pengacara program Astro menjelaskan, sepanjang pertandingan ini dijalankan dan diangkat menjadi realiti TV, dia lebih berdisiplin dan bertanggung­jawab.

“Masa memainkan peranan penting, apatah lagi ia membabitkan ramai peserta. Setiap kami harus bertanggungjawab terhadap apa juga tindak-tanduk sama anda untuk diri sendiri mahupun rakan keliling. Banyak perkara yang saya belajar dan paling penting menjadi seorang yang peka dengan situasi sekeliling,” katanya.

Deeba pula berkata, pertandingan Dewi Remaja adalah pusat mendidik dan mengajar. Malah ia sudah menjadi seperti satu institusi melahirkan ikon remaja memiliki pakej lengkap seperti Neelofa, Datin Annahita dan Scha Al-Yahya.

“Saya mengharapkan dengan penyertaan saya dalam program pertandingan Dewi Remaja ini ia dapat membentuk saya menjadi ikon remaja yang kental di sudut mental dan fizikal,” katanya.

Bagi Balqish, pertandingan ini mengubahnya menjadi individu yang agak sentimental dan sangat lembut hati terutama kepada rakan pesaing.

“Saya sangat menghormati usaha dilakukan semua orang yang berada di balik tabir. Banyak perkara saya belajar terutama membentuk disiplin apabila harus mengikuti setiap acara dianjurkan dalam pertandingan Dewi Remaja ini,” katanya.

Pertandingan ini juga menjadi platform untuk menempa nama dalam dunia seni terutama lakonan dan pengacaraan seperti kejayaan diraih juara sebelum ini.

Antaranya, Tengku Anis Tengku Ismail (1985/86), Aleeza Kassim (1987/88), Jasmeen Dhillon (1990/91), Wan Khatijah (1993/94), Juliana Banos (1997/98), Annahita Bakavoli (2002/03), Scha Al-Yahya (2005/06) dan Nee­lofa (2009/2010).

Peserta akan dinilai bukan saja daripada paras rupa tapi juga melalui cabaran yang diberikan. Setiap markah akan dikumpulkan dan peserta yang mempunyai markah paling rendah disingkirkan setiap minggu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");