Sukan Hari Ini

Letih tapi teruja

Subang: Faktor keletihan mencetuskan sedikit kebimbangan buat pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino menjelang pertembungan dengan skuad Pilihan Malaysia bagi aksi Piala AIA di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kelab Liga Perdana Inggeris yang berpangkalan di London itu tidak mengambil masa lama untuk berehat selepas aksi terakhir liga menentang Everton, Ahad lalu apabila tiba di ibu negara pagi semalam.

Dengan 23 pemain dibawa ke Malaysia bagi kunjungan kali pertama Spurs sejak 1979, Pochettino, 43, tetap menjangkakan anak buahnya bakal berdepan tentangan sengit tuan rumah.

“Kami beraksi pada Ahad lalu dan keesokan harinya terus terbang ke sini. Saya fikir pemain agak keletihan namun saya percaya mereka cukup bersemangat apabila mendapat sambutan hangat peminat sebaik tiba di sini.

“Saya jangkakan perlawanan yang sengit dan pemain sudah bersedia memberikan persembahan menghiburkan buat peminat,” katanya pada sidang media perlawanan itu semalam.

Spurs nyata mengotakan janji membawa semua tonggak utama termasuk penyerang sensasi White Hart Lane, Harry Kane, pemain tengah Christian Eriksen, Erik Lamela, Nacer Chadli, pertahanan Jan Vertonghen serta penjaga gol Hugo Lloris.

Bagaimanapun atas faktor keletihan itu, pengendali dari Argentina yang membimbing Spurs menduduki tangga kelima EPL musim ini mengaku akan melakukan banyak pertukaran pada aksi malam ini.

“Mungkin ramai pemain tidak beraksi 90 minit, bergantung kepada situasi nanti. Ia perlawanan sukar kerana Malaysia dalam persiapan mengharungi kelayakan Piala Dunia,” kata Pochettino.

Pada kunjungan pertama Spurs ke Malaysia pada 1979, mereka menewaskan Selangor 4-0 di Stadium Merdeka.
– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");