Jenayah

Polis bongkar rumah proses dadah

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket memproses dan pengedaran dadah dengan tangkapan lapan individu termasuk seorang wanita dalam operasi berasingan di Brickfields dan Sentul, dari Jumaat hingga kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah dan barang memproses dadah dianggarkan bernilai RM277,000.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Taman Tun Dr Ismail, polis memberkas empat lelaki dan seorang wanita, polis turut menemui peralatan yang dipercayai digunakan sindiket terbabit untuk memproses dadah.

“Dadah itu dipercayai untuk diedar di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Kita turut menemui sebuah buku catitan yang merekodkan urusan jual beli di empat lokasi itu yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.

Menurutnya, sindiket itu aktif sejak enam bulan lalu, manakala rumah tersebut dipercayai disewa penjenayah sejak empat tahun lalu

“Kita turut merampas sebuah buku yang mengandungi buku resipi yang dijadikan rujukan memproses dadah dan sebuah mesin yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis estacy yang dibeli dari China,” katanya.

Tajuddin berkata, pihaknya merampas dadah jenis heroin 55 gram, ketamin 430 gram, bahan dipercayai serbuk dadah 1.075 gram dan syabu 1,200 gram.

“Semua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun direman sehingga 26 Mei ini untuk membantu siasatan. Hasil saringan urin mendapati enam suspek positif dadah dan dua mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, polis menahan 27 lelaki dipercayai penagih di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama dalam Operasi Sarang dari 15 Mei hingga kelmarin.

Tajudin berkata, susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lelaki dipercayai pengedar di Bangsar dan merampas dadah jenis ganja seberat 2.9 kilogram dianggarkan bernilai RM7, 000.

“Seramai 20 lelaki dan dua wanita juga dipercayai penagih turut ditahan di bawah jejambat Batu Caves, Sentul.

“Susulan tangkapan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki juga dipercayai pengedar di Taman Intan Baiduri, Kepong, turut dijumpai dadah syabu sebanyak 160 paket, heroin 10 paket, 70 biji pil eramin 5 dan 50 paket ganja yang dianggarkan bernilai RM120,000,” katanya.

Semua yang ditahan dalam Operasi Sarang ini disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");