Berita Hari Ini

Boleh hilang peluang ekonomi jika tidak arif

PUTRAJAYA – Kurang kefahaman tentang Komuniti Asean menyebabkan negara akan kehilangan peluang-peluang ekonomi yang terbentang luas di rantau itu yang sebaliknya akan dikuasai pihak lain, kata Timbalan Ketua Pengarah, Pasukan Peringkat Tinggi Visi Komuniti Asean Pasca 2015, Sekretariat Kebangsaan Asean, Mohd Suhaimi Jaafar.

Beliau berkata, pengetahuan tentang Asean perlu untuk membolehkan mereka memanfaatkan setiap peluang yang ditawarkan, termasuk dalam kalangan belia kerana mereka merupakan bakal pemimpin masa hadapan.

Katanya Komuniti Asean bermaksud satu masyarakat yang berkongsi ‘perasaan Asean’ iaitu mempunyai satu identiti yang sama dan hala tuju strategik yang serupa di bawah naungan satu kesatuan yang kukuh.

“Ini bererti dengan wujudnya Komuniti Asean, warga Asean mampu bersaing secara efektif dalam semua sektor ekonomi di rantau ini.

“Oleh itu, seharusnya anda (golongan belia) perlu memahami dan mengetahui mengenai Asean, Komuniti Asean termasuk aspek perdagangan, perniagaan, perkembangan persekitaran Asean dan sebagainya,” katanya pada majlis penutupan Kuiz Asean Khas 2015 di sini, hari ini.

Malaysia selaku pengerusi Asean pada tahun ini menetapkan matlamat bagi pewujudan Komuniti Asean pada hujung tahun ini.

Mohd Suhaimi berkata, kajian sebelum ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat umum di rantau ini khususnya Malaysia mengenai Asean adalah rendah.

“Kebanyakan penduduk tidak mengetahui objektif pembentukan Komuniti Asean serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan-kerajaan di rantau ini bagi menjadikan Asean sebagai satu komuniti atau sebuah rantau yang kukuh,” katanya.

Jelasnya, bagi menangani isu tersebut, Kementerian Luar serta kementerian-kementerian lain yang berkaitan sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai faedah yang bakal diperoleh daripada pewujudan Komuniti Asean.

“Usaha-usaha ini juga tiada maknanya jika golongan belia tidak mengambil peluang ataupun tidak mengambil peduli perkembangan semasa di rantau ini,” katanya.

Pada kuiz anjuran Jabatan Penerangan bersama-sama Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Luar itu, Amirah Ahmad Lotfi, 22, dari Selangor muncul johan dengan topik ‘Komuniti Asean: Apa Maknanya Kepada Saya? – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");