Jenayah

Polis lumpuhkan sindiket gores dan menang

GEORGETOWN – Polis menumpaskan sindiket ‘gores dan menang’ yang menawarkan pakej mengerjakan umrah, pelancongan, rumah, kereta mewah dan peralatan elektrik mahal untuk memperdayakan mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut (DTL), Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, berdasarkan 30 laporan daripada mangsa, polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan pejabat operasi syarikat berkenaan di Jalan Slim dekat Jelutong, pada jam 2.30 petang 18 Mei lalu.

Beliau berkata, hasil risikan dan serbuan, polis menahan 14 individu termasuk empat wanita kerana disyaki terlibat kes penipuan membabitkan kerugian mencecah RM700,000.

Turut dirampas senarai invios bayaran yang dibuat pelanggan, kupon peraduan gores dan menang, fail mengandungi pelbagai gambar hadiah yang ditawarkan termasuk iklan profil individu yang kononnya memenangi hadiah lumyan serta beberapa hadiah peralatan elektrik yang dipamerkan di situ.

“Siasatan awal mendapati syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak awal tahun ini untuk peniagaan yang tidak mempunyai unsur kegiatan gores dan menang,” katanya, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga suspek berusia antara 20 dan 40 tahun itu direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Mior Faridalatrash berkata, modus operandi syarikat itu ialah menawarkan hadiah selepas kupon ‘super sales’ digores di tempat tumpuan orang ramai terutama pusat membeli belah atau bank dan mengajak mangsa ke pejabat mereka.

“Ada mangsa memberitahu mereka didorong untuk membayar sejumlah wang tetapi tidak menerima hadiah seperti dijanjikan. Sasaran mereka ialah warga emas dan pesara.

“Mangsa sanggup membayar dari RM2,000 hingga puluhan ribu ringgit dan hanya sedar ditipu apabila tidak mendapat hadiah seperti yang dijanjikan sebaliknya diberi barangan lain bernilai lebih rendah sebagai ganti,” katanya.

Selain itu, difahamkan ada segelintir pekerja syarikat terbabit sanggup mendesak dan mengekori pelanggan ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan sindiket gores dan menang atau ejen mereka yang berkeliaran di merata tempat.

“Ada pelanggan yang kesal kerana barang yang dibeli tiada kualiti, barang tidak setanding dengan harga atau tidak mendapat langsung barang yang dijanjikan,” katanya.
?
Sebelum ini, Mior Faridalatrash berkata, sejak Mac lalu, kegiataan gores dan menang kian aktif di Pulau Pinang dan polis menahan beberapa individu yang terlibat dengan penipuan kira-kira RM1.5 juta.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");