Perak Hari Ini

“Rakyat bertuah dibawah pemerintahan Sultan Perak,” :Zambry

IPOH: Rakyat negeri Perak sangat bertuah dengan Pertabalan Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebagai Sultan Perak ke-35.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, baginda seorang yang mempunyai taraf ilmu yang tinggi.

“Patik sekalian amat kagum, dengan kesarjanaan Tuanku dan insaf akan segala haibah diri, menjadi seorang raja ilmuan, yang sentiasa memperkaya perbendaharaan ilmu, melengkapi khutub khanah kendiri, serta berdamping dengan ilmuan dan agamawan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempersembahkan ucapan tahniah diatas pemasyhuran Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak ke-35.

Beliau juga memohon kepada Allah agar semua rakyat di negeri Perak memperolehi manfaat daripada sifat Tuanku yang bijaksana dan mencintai ilmu.

Ujarnya DYMM Tuanku bukan sahaja bijaksana malah turut mengharumkan nama Kesultanan negeri ini,

“Baginda bertitah di serata dunia dengan cetusan minda yang sering memancarkan naluri, bagi mewujudkan sebuah dunia yang sejahtera, hingga menyerlahkan Tuanku laksana permata, mengerdipkan kearifan dalam kalangan yang arif tentang ehwal dunia.

“Pengiktirafan terhadap Tuanku di persada buana, telah menjulang nama watan, hingga membolehkan pentadbiran pimpinan Patik, membangunkan negeri yang menjadi tumpuan dagang dan senteri,” jelasnya lagi.

Beliau berharap kebijaksanaan dan keilmuan Sultan Perak akan terus utuh di persada dengan sifat adil, saksama, tegas dan terbuka demi kesejahteraan rakyat jelata.

“Ini selaras dengan ciri-ciri Raja Pemerintah, seperti yang disebut oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya Al-Tibr al-Masbuk fii Nasihat al-Muluk iaitu adil, bijaksana, dekat dengan majlis ilmu dan akrab dengan ulama, tidak bermegah, mengambil berat kebajikan rakyat, memenuhi hajat dan bermuafakat,” kata beliau lagi.

Tambahnya, Sultan Nazrin merupakan seorang yang tidak meninggi diri atas pujian, tidak alpa atas gelaran tetapi insaf akan nasib insan yang bernaung di bawah payung pemerintahan Tuanku.

Sementara itu, beliau berkata, keprihatinan baginda terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di negeri itu menjadikan beliau seorang Raja Pemerintah yang dekat dihati setiap lapisan masyarakat.

“Keperihan hidup serta kedaifan rakyat, sentiasa mengetuk pintu kalbu Paduka Seri Tuanku. Sentuhan Ke Bawah Duli Tuanku, sentiasa dirasai di kalangan rakyat sehingga kehidupan yang kelam kembali bersinar benderang.

“Bergetarnya jiwa Tuanku akan nasib golongan yang serba kekurangan, mengingatkan patik kepada ungkapan khalifah Bani Umaiyah yang termasyhur, iaitu Khalifah Umar Abd Aziz, tatkala berkhutbah menerima jawatan, dengan berkata:

“Aku memikul amanat umat ini dan aku tangisi orang-orang yang menjadi amanat atasku, iaitu kaum fakir miskin, yang lemah dan lapar, ibnu sabil yang kehilangan tujuan dan terlantar, orang-orang yang dizalimi dan dipaksa menerimanya, orang-orang yang banyak anaknya dan berat beban hidupnya. Aku merasa bertanggungjawab atas beban mereka, kerana itu, aku menangisi diriku sendiri kerana beratnya amanat atas diriku.”

Selain itu, ujarnya, atas keprihatinan itu terwujudlah Yayasan Bina Upaya (YBUDR) untuk membela nasib rakyat yang serba kekurangan.

“Dengan melatakan kudrat, yayasan ini berusaha memenuhi segenap hasrat rakyat.

“Berkat usaha menabur bakti, pembasmian kemiskinan melalui yayasan ini, telah mendapat pengiktifaran di peringkat antarabangsa, dengan anugerah khas Global Islamic Finance Awards 2014 di Dubai tempoh hari,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV yang telah berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, hari ini.

Dalam istiadat berkenaan, Tuanku Zara Salim turut dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");