Membawang Hari Ini

San Andreas angkat tema kekeluargaan

KISAH gempa bumi dahsyat di dalam filem Hollywood sememangnya bukan naskhah baharu yang dipertontonkan kepada penonton.

Namun biarpun mengambil tema yang hampir sama, setiap filem tetap mempunyai kekuatan yang tersendiri termasuklah filem terbaharu arahan Brad Peyton.

Filem yang digarap berdasarkan kejadian gempa bumi yang pernah berlaku di San Francisco pada tahun 1906, di mana pakar menemukan rekahan atau garisan akibat gempa bumi yang dipanggil San Andreas yang membentangi California Selatan.

Gempa bumi bermagnitud melebihi 9 skala Richter itu telah menyebabkan kemusnahan dahsyat di San Francisco.

Dan itu merupakan fakta yang sebenarnya yang berlaku 109 tahun dahulu.

Namun dalam filem San Andreas yang dijayakan oleh pelakon terkenal, Dwayne Johnson bersama Alexandra Daddario, Carla Gugino, Ioan Gruffudd, Archie Panjabi dan Colton Haynes ini, hanya mengimbau kemusnahan yang berlaku pada masa kini.

Maksudnya, di dalam filem ini digambarkan gempa bumi dahsyat yang melanda San Francisco hingga memusnahkan tempat tersebut dalam masa yang singkat.

San Andreas mengisahkan seorang juruterbang mencari dan menyelamat, Ray Gaines lakonan Johnson bergerak dari Los Angeles menuju San Francisco bersama bekas isterinya, Emma (Gugino) dalam usaha menyelamatkan anak perempuan mereka, Blake Gaines (Daddario) yang berada di sana. Pelbagai rintangan ditempuhi mereka sepanjang perjalanan.

Filem yang menyaksikan kisah sebuah keluarga yang pincang pada awal, dengan konflik melanda antara suami dan isterinya akhirnya boleh bersatu dalam usaha untuk menyelamatkan insan yang mereka sayangi.

Meskipun tema sebegini biasa dipertaruhkan dalam filem, namun ia tetap meninggalkan kesan dan menyentuh perasaan penonton.

Filem ini juga menyaksikan pengorbanan seorang bapa dalam memastikan ke semua orang yang disayanginya berada di dalam keadaan selamat.

Perjalanan cerita yang pantas membuatkan penonton tidak terasa dengan durasi perjalanan filem ini yang memakan masa hampir dua jam.

Dengan segala aksi dan cabaran yang dipertaruhkan di dalam filem ini, apatah lagi dengan suntikan Imej Janaan Komputer (CGI) menambahkan lagi debaran dalam usaha menyelamat ini.

Gambaran huru-hara di seluruh negeri menerusi tanah dan bangunan runtuh, tsunami dan kereta yang melambung dibayangkan dengan baik melalui sinematografi dan gabungan bunyi serta kesan khas oleh sinematografer, Steve Yedlin.

Malah Peyton boleh dianggap berjaya mengadun cerita agar watak gadang Dwayne dapat diserlahkan dengan praktikal disusuli teknik CGI yang jitu dan kompleks.

Lakonan mantap

Lakonan mantap Dwayne Johnson di dalam filem-filem aksi sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Apatah lagi dengan mempertaruhkan tubuh sasanya dan penghayatan watak yang cukup berkesan membuatkan dia berjaya mempengaruhi perhatian penonton dari awal hingga akhir.

Biarpun ada beberapa babak menyelamat melibatkan runtuhan yang tampak klise, namun ia masih boleh dimaafkan.

Pendek kata, jika ada kanak-kanak perempuan menyaksikan filem ini, dia pasti mengimpikan untuk memiliki seorang ayah seperti Johnson.

Manakala lakonan pelakon lain juga tidak kurang hebatnya dan dilihat membantu mencantikkan lagi lakonan pelakon utama dan jalan cerita filem ini.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui nasib keluarga ini, jangan lupa untuk menyaksikan San Andreas di pawagam.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");