Berita Hari Ini

Saya sebenarnya ‘strong’

Kangar: Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) mampu berdiri teguh sekiranya terus mendapat kepercayaan daripada ahli parti dan rakyat serta menerima sokongan padu dalam kalangan pimpinan kerajaan tanpa berbelah-bahagi untuk terus melakukan pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau berkeyakinan kerajaan kuat secara tidak langsung mampu meletakkan Malaysia sebagai negara yang bergerak ke hadapan dengan kestabilan politik, perpaduan dan pembangunan mapan menerusi program transformasi untuk mencapai status negara maju pada 2020.

Menurutnya, beliau tetap menyedari terdapat cabaran untuk mencapai tahap berkenaan kerana Malaysia yang merentasi Laut China Selatan dari Perlis hingga ke Sabah dengan kawasan bandar dan luar bandar yang luas, sekali gus perlu memastikan agihan kekayaan dibuat secara saksama.

“Ini cabaran utama yang perlu diusahakan kerajaan, tetapi kita mampu lakukan sekiranya rakyat dan (ahli) parti memberi kepercayaan serta sokongan padu kepada pimpinan kerajaan serta parti.

“Pagi tadi (semalam) sebelum majlis ini saya bersalaman dengan seorang ahli parti dan beliau memberi kata semangat ‘be strong Datuk Seri (Najib)’. Saya sebenarnya akan jadi ‘strong’ (kuat) bukan kerana madu lebah yang diberikan Datuk Seri Shahidan (Kassim).

“Tetapi, kalau dari segi kekuatan politik… saya akan jadi ‘strong’ kalau anggota parti kita setia dan beri sokongan tak berbelah-bahagi kepada kita (pimpinan),” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Perlis di Dewan Wawasan 2020, di sini, semalam.

Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan kelulusan pembinaan Hospital Padang Besar, di sini, untuk kemudahan rakyat pada masa depan.

Najib berkata, dalam konteks Perlis, negeri berkenaan mempunyai dua ‘kepala’ iaitu satu kepala politik dan seorang lagi kepala kerajaan di mana sekiranya kedua-duanya bergerak sehaluan, Perlis bakal menjadi negeri yang kuat dalam bentuk sokongan kepada BN pada masa hadapan.

Menurutnya, sebelum ini Shahidan yang juga kepala politik sudah meluahkan sokongan tidak berbelah-bahagi kepadanya dan begitu juga dengan Azlan walaupun kilat sabung-menyabung.

“Sokongan ini penting disebabkan kita memerlukan sebuah kerajaan kuat dan perlu sebuah parti yang disegani dan dihormati. Sekiranya kerajaan kita diperlekeh, parti kita dianggap lemah, orang tidak akan menghormati lagi dan kita akan hilang kuasa dalam PRU (pilihan raya umum) akan datang.

“Tetapi dalam konteks Perlis, saya berani menyatakan berdasarkan sejarah silam politik negeri ini, dalam apa jua keadaan, Perlis membuktikan bumi ini tetap bumi BN. Justeru, saya akan bekerjasama dengan pimpinan politik dan kerajaan untuk pastikan hakikat ini menjadi realiti atau keadaan ini menjadi realiti membela nasib rakyat.

“Saya juga mengumumkan projek pembinaan Hospital Padang Besar diluluskan atas komitmen saya melihat bumi Perlis terus maju dan kekal kubu kuat BN,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");