Sukan Hari Ini

Siapa pilihan BAM?

TANGGAL 1 Mei mungkin akan sentiasa terpahat pada ingatan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kerana tarikh itu membawa pengertian bermakna dalam hidupnya sebagai pemain badminton profesional.

Ini kerana, Chong Wei akhirnya boleh menarik nafas lega apabila hukuman penggantungan lapan bulan dikenakan terhadapnya berikutan pengambilan ubat herba semula jadi cordyceps selama 13 tahun yang hampir meranapkan kariernya berakhir, Jumaat lalu.

Ia satu penantian meresahkan bekas pemain nombor satu dunia itu dan juga peminat badminton negara ketika arena sukan negara terus lesu akibat pencapaian kurang membanggakan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Kini harapan untuk menyaksikan Chong Wei menyumbang emas pertama pada Sukan Olimpik Rio kembali berbunga, bermula dengan Piala Sudirman di Dongguan.

Namun di sebalik pembebasan itu, timbul pula isu baru apabila ranking dunia terkini yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan kedudukan Chong Wei merosot teruk dari kedudukan nombor satu ke tempat ke-45.

Kedudukan tersebut menyebabkan peluang pemain kelahiran Pulau Pinang itu untuk beraksi di Kejohanan Dunia Ogos depan sedikit malap berikutan hanya dua pemain terbaik negara disenaraikan secara automatik ke kejohanan tersebut dan Chong Wei boleh beraksi jika salah seorang dikorbankan.

Selepas ranking tersebut, Chong Wei Feng berada di tangga ke-31 diikuti Zulfadli Zulkifli (41) manakala Chong Wei tergelincir di tempat ke-45.

Chong Wei pasrah

Walaupun ada rasa kesal di raut wajah Chong Wei, namun beliau yakin peluangnya untuk beraksi pada kejohanan edisi ke-22 itu masih ada dan semuanya bergantung sepenuhnya kepada keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Keputusan bergantung kepada BAM dan (Pengarah Teknikal BAM), Morten Frost Hansen sebab dia yang akan membuat keputusan.

“Saya hanya boleh berharap dapat beraksi pada kejohanan ini. Disebabkan isu doping, saya tidak layak kerana saya kini pemain perseorangan ketiga negara.

“Kalau BAM buat keputusan mahu menghantar kedua-dua pemain ini pun saya akan terima. Saya akan fokus kepada ranking dunia dan akan terima apa sahaja yang dirancangkan Frost untuk saya,” kata Chong Wei.

Tak patah semangat

Chong Wei berkata, beliau menjangkakan perkara itu dan katanya, keadaan sekarang menambah keazamannya untuk berlatih lebih gigih.

“Saya kini lebih bermotivasi selepas kejadian menyakitkan ini. Saya sudah alami jatuh naik dalam kehidupan saya.

“Sekarang saya cuma berharap dapat menemukan kembali rentak permainan saya. Sudah tujuh bulan saya tidak bertanding (selepas Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pada September lalu).

“Sepanjang kerjaya saya, tidak pernah berehat panjang seperti ini. Sebelum ini pun saya hanya berehat tiga bulan sebab kecederaan buku lali,” katanya.

Chong Wei bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk beliau mengembalikan semula prestasinya ke tahap optimum.

“Selepas lama tidak bermain, sejak Sukan Asia 2014, saya memerlukan perlawanan yang kompetitif biarpun misi merampas semula ranking nombor satu dunia bukan mudah,” katanya yang memasang impian untuk bermain di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada tahun depan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");