Berita Hari Ini

Asing sisa pepejal ikut jenis mulai 1 September

SEREMBAN – Kerajaan serius untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang untuk mewajibkan orang ramai mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis ke dalam plastik bersesuaian di rumah sebelum membuangnya, bermula 1 September ini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, penguatkuasaan undang-undang itu akan dibuat secara berperingkat bagi memastikan orang ramai dapat menyesuaikan diri.

“Bermula 1 Julai ini, kita akan mula memberi peringatan mesra kepada masyarakat melalui risalah dan nasihat.

“Bermula 1 September pula, kita akan memberi notis peringatan kepada isi rumah yang tidak mengasingkan sisa pepejal dan bermula 1 Jan 2016, denda maksimum RM1,000 akan dikenakan kepada mereka yang masih enggan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun SWCorp yang ketujuh dan Konvensyen Bandar Bersih di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Solid Waste Management and Public Cleansing Corporation (SWCorp), Datuk Ab Rahim Md Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek.

Halimah berkata, mereka yang tidak mengasingkan sisa pepejal dan enggan membayar denda yang dikenakan, boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Kita kalau boleh nak mendidik masyarakat untuk jadikan ia (pengasingan sisa pepejal) sebagai budaya dan amalan mereka dan kita tidak mahu tanggungjawab itu dipikul oleh rakyat dengan pelaksanaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, SWCorp kini giat melaksanakan program kesedaran kepada orang ramai tentang pengasingan sisa pepejal dan mengingatkan orang ramai tentang pelaksanaan undang-undang baharu itu.

“Dalam pada tempoh penguatkuasaan ini, kita masih lagi mengambil sebahagian masa yang ada untuk mendidik masyarakat.

“Saya percaya tempoh masa untuk kita maklumkan pada masyarakat memadai,” katanya.

Sementara itu, Ab Rahim berkata, bagi kediaman bertingkat seperti kondominium dan rumah pangsa, pihak kementerian sedang memperhalusi kaedah yang sesuai untuk menangani isu ini.

“Untuk kediaman bertanah, kita sudah ada kaedah yang sesuai untuk kita pantau pelaksanaannya,” katanya.

Peraturan pengasingan sisa pepejal ini dilaksanakan mengikut Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan akan dijalankan oleh SWCorp.

Pengasingan sisa pepejal ini akan dikuatkuasakan sepenuh­nya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");