Jenayah

Bawa bekal ketika menagih

DUNGUN – Bukan sahaja tidak menghormati Ramadan dengan melakukan kegiatan haram, tetapi penagih yang ditangkap ketika serbuan dalam Ops Tapis di dua lokasi berasingan di sini, semalam turut membawa makanan sebagai bekalan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik IPD Dungun, Asisten Superintendan Ching Guan Cheng berkata, serbuan diketuai Inspektor C Kasevan turut melibatkan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik IPD Dungun.

Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah kawasan semak pinggir bukit di Seberang Pintasan, seramai 9 penagih berjaya ditangkap.

“Ketika serbuan, sebilangan mereka sedang ‘lalok’ dan semua lari bertempiaran, ada juga yang cuba melawan dan berlaku pergelutan.

“Ada penagih yang lari naik ke bukit dan masuk dalam semak, ada yang cuba terjun laut dan ada pula menyelinap di lorong kawasan perumahan di sekitar untuk lepaskan diri,” katanya.

Kata Guan Cheng, ada penagih yang turut membawa bekalan makanan ketika menagih.

Menurutnya, memandangkan jumlah penagih yang ramai, dianggarkan lebih 20 orang, sebahagian sahaja berjaya ditangkap.

Sementara itu, dalam serbuan di Kompleks Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun, seramai tiga lagi penagih berjaya diberkas.

“Ketika serbuan di Jeti LKIM, memang sarang dadah itu dipenuhi ramai penagih.. dengan anggaran 20 orang tetapi semuanya juga pantas larikan diri dan sembunyi.

“Hanya tiga suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Guan Cheng, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 28 dan 54 tahun termasuk seorang lelaki OKU yang kudung tangan sebelah kiri berusia 32 tahun.

Kesemuanya mempunyai rekod kesalahan lampau dan sering keluar masuk lokap atas kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua 12 suspek yang ditahan juga disahkan positif dadah jenis morfin setelah menjalani ujian air kencing.

“Polis juga berjaya merampas sebotol serbuk putih dipercayai dadah yang disembunyikan oleh salah seorang suspek dalam poket seluar,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983

Difahamkan kedua-dua sarang dadah berkenaan sudah kerap kali diserbu.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan laporan kes tersebut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");