Sukan Hari Ini

Hanya tinggal selangkah

MISI skuad hoki negara untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kini hanya tinggal selangkah.

Semuanya selepas The Speedy Tigers mengakhiri saingan Kumpulan B di tangga ketiga dalam pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia (HWL) 2015 di Antwerp, Belgium, kelmarin.

Berbekalkan enam mata selepas merekodkan dua kemenangan menentang China, 3-2 dan Ireland, 4-2 pasukan negara mampu untuk mengelak bertemu pasukan nombor satu dunia, Australia.

Lawan pasukan bimbingan Tai Beng Hai di peringkat suku akhir, Khamis ini adalah India yang mengesahkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan A.

India sebelum ini sudah mengesahkan tiket ke Rio selepas memenangi pingat emas di Sukan Asia Incheon 2014.

Bermula 12 tengah malam itu, nasib Speedy Tigers bakal terjawab di Stadium KHC Dragons.

Andai pasukan negara mampu merekodkan kemenangan menentang pasukan yang menghuni kedudukan sembilan dunia itu, kemarau beraksi dalam Sukan Olimpik akan berakhir.

Negara tidak beraksi dalam tiga edisi sebelum ini iaitu di Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

Aksi terakhir longlai

KELMARIN, pasukan hoki negara berdepan kekalahan kedua dalam aksi terakhir menentang pasukan nombor lima dunia, Great Britain.

Speedy Tigers terpaksa menerima hakikat dengan kekalahan, 3-1, walaupun pada awal perlawanan Malaysia mendahului dengan gol pertama yang disempurnakan oleh Muhammad Haziq Shamsul minit ke-14.

Pengurus skuad kebangsaan, Stephan van Huizen mengakui, pasukannya tidak bermain dengan baik, terutama pada suku ketiga dan keempat sehingga menyebabkan lawan mudah membolosi kawasan D negara.

“Pada perlawanan itu ada beberapa kawasan yang tidak dijaga dengan baik hingga membolehkan lawan meraih peluang mendapatkan jaringan,” katanya.

Kini pemain negara perlu melupakan dua kekalahan berturut-turut itu.

Tiga hari masa rehat selepas perlawanan terakhir itu perlu dimanfaatkan bagi memastikan impian negara untuk kembali beraksi di pentas Olimpik terlaksana.

“Fokus kami kini adalah untuk menghadapi suku akhir,” tegas Beng Hai.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");