Jenayah

Isteri, anak hilang tempat bergantung

KOTA TINGGI – Seorang isteri di Felda Sening, dekat sini tabah menjaga suaminya yang terlantar selepas terlibat kemalangan motosikal tahun lalu.

Suhaila Husin, 32, ibu kepada empat orang anak berkata, suaminya Sahrun Kalil, 38, akibat kemalangan itu juga, suaminya kini turut hilang ingatan.

Menurutnya, suaminya terpaksa dirawat hampir dua bulan di Hospital Kota Tinggi dan Hospital Sultanah Aminah sebelum dibenarkan pulang.

“Pada awalnya doktor memberitahu, harapan suami untuk hidup hanyalah 50 peratus selepas dia mengalami pendarahan teruk di kepala. Bagaimanapun selepas menjalani pembedahan dan rawatan di hospital, keadaannya stabil namun dia tidak boleh bergerak dan ingatannya juga hilang.

“Pengalaman bekerja sebagai pembantu perubatan sebelum berkahwin memberi kelebihan kepada saya selepas pihak hospital membenarkan dia dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Suhaila berkata demikian ketika ditemui di kediamannya selepas menerima lawatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Johor yang diketuai Pengarahnya, Ismail Abi Hashim.

Kata Suhaila, suaminya kini hanya terbaring dan bergantung dengan susu serta terpaksa menggunakan lampin pakai buang.

Tambahnya, keadaan suaminya itu benar-benar membuatkan dirinya buntu lebih-lebih lagi suami merupakan tempat dia dan anak-anak bergantung hidup selama ini.

Katanya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perubatan suami dan juga perbelanjaan anak-anak yang masih bersekolah.

“Selepas berkahwin saya tidak bekerja kerana menjaga anak-anak. Ditambah pula dengan keadaan sekarang ini, saya tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan keperluan suami.

“Kadang kala saya juga merasa sedih apabila setiap hari anak bongsu bertanya kepada saya bila ayah nak sihat. Alhamdulillah sekarang mereka sudah semakin faham dengan keadaan ayah mereka dan juga saya.

“Mahu atau tidak, saya perlu kuat demi suami dan juga anak-anak. Saya juga merasa bersyukur dan berterima kasih kepada Perkeso yang datang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kehadiran pihaknya untuk menyerahkan cek bernilai RM2,100 untuk bayaran bagi tempoh cuti sakit mangsa serta barang keperluan seperti lampin pakai buang dan juga barang makanan.

Menurutnya, baki bayaran tersebut juga akan bayar kemudian berikutan mangsa masih mempunyai baki cuti sakit, malah mangsa juga layak untuk mendapat bantuan hilang upaya kekal.

“Bagi kes seperti ini Perkeso boleh menyediakan katil, lampin pakai buang, susu dan barangan lain untuk kemudahan mangsa,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");