Berita Hari Ini

Isu AP: Pekerja Asing Ditahan, Majikan Sengsara

PETALING JAYA: Isu pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara dalam talian terus dibangkitkan walaupun akuan penerimaan (AP) kini diperakui sah sebagai dokumen gantian sementara menunggu pelekat permit baharu dikeluarkan.

Beberapa majikan menyuarakan kesulitan dan kesengsaraan yang dihadapi sepanjang tempoh pekerja asing mereka ditahan sebelum ini berikutan kekeliruan yang wujud antara agensi penguatkusaan.

Seorang wakil majikan di sebuah syarikat pembinaan yang hanya mahu dikenali sebagai Amizah mendakwa tiga pekerja warga Myanmarnya sehingga kini masih ditahan polis sejak pertengahan Februari lalu kerana didakwa mempunyai permit telah tamat tempoh.

Susulan itu, beliau tampil mengemukakan semua dokumen pekerja asing terbabit termasuk AP yang membuktikan permohonan memperbaharui PLKS telah dibuat.

Dakwanya, ketika itu polis tidak mengiktiraf AP tersebut menyebabkan ketiga-tiga pekerja asingnya terus berada dalam tahanan polis.

“Sengsara kami dibuatnya bila berlaku perkara seperti ini. Syarikat kami bukannya ambil pekerja asing tanpa izin. Mereka dah pernah ada permit yang sah sebelum ini, pasport pun sah lagi. Masalahnya cuma pelekat PLKS masih belum diterima.

“Kami dapat AP lepas buat permohonan pembaharuan pas secara dalam talian. Kalau polis tak nak terima AP sebagai bukti permohonan dibuat, sepatutnya percepatkanlah serahan pelekat baharu PLKS,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

mStar Online pada Selasa melaporkan seramai 376 pekerja asing di Semenanjung ditahan polis sejak Februari lalu ketika mereka masih dalam tempoh menunggu pelekat baharu PLKS yang telah diperbaharui secara dalam talian.

Portal berita ini pada Isnin lalu turut melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menerima pakai AP sebagai dokumen gantian sementara yang sah sehingga pelekat PLKS dikeluarkan.

Amizah yang merupakan pengurus sumber manusia berkata, penahanan pekerja asing itu secara tidak langsung menjejaskan produktiviti syarikatnya kerana tenaga kerja yang mencukupi diperlukan untuk melancarkan projek-projek pembinaan.

“Menunggu pelekat baharu PLKS satu hal, pekerja asing kena tahan lagi, sekarang timbul pula masalah lain apabila operasi syarikat sedikit terjejas kerana kekurangan pekerja.

“Bukan mudah bagi majikan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini. Bila dah dapat dengan cara yang betul, ada macam-macam masalah pula,” keluhnya.

Seorang lagi majikan yang mahu dikenali sebagai Mazlan pula mendakwa salah seorang pekerja asingnya turut ditahan polis kerana tidak mempunyai permit sah sedangkan punca sebenar ialah pihaknya belum mendapat pelekat baharu PLKS.

“Saya dah penat nak uruskan hal seorang pekerja asing yang ditahan. Bayangkan saya ada 31 lagi pekerja asing yang masih belum dapat pelekat PLKS,” katanya yang turut diminta supaya mendapatkan surat pengesahan Jabatan Imigresen untuk dikemukakan kepada polis.

“Saya dah ada AP tapi polis tak terima. Saya sibuk ke sana sini untuk cuba selesaikan apa yang patut tetapi banyak masa dibazirkan. Permohonan secara dalam talian ini sepatutnya memudahkan tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya dengan nada kesal namun berharap 31 lagi pekerja asingnya tidak ditahan polis dalam tempoh menunggu pelekat PLKS baharu bagi mengelakkan bebanannya sebagai majikan bertambah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pula berkata, masalah penahanan tersebut bukan sahaja menjejaskan operasi syarikat bahkan menyebabkan pekerja asing tidak dibayar gaji.

“Keadaan itu sudah tentu menyusahkan pekerja berkenaan kerana mengikut Seksyen 23 Akta Kerja 1955 telah menyatakan pekerja tidak layak mendapat bayaran upah dalam tempoh mereka ditahan polis.

“Tetapi mereka ditahan tanpa sebab jadi siapa yang harus menanggung bayaran upah mereka? Adakah pihak berwajib atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam urusan permohonan pembaharuan PLKS itu perlu bertanggungjawab,” katanya sambil menambah situasi itu menyebabkan majikan dan pekerja asing terpaksa menanggung kerugian.

Minggu lalu, mStar Online melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas berhubung isu AP mengesahkan ia sebagai dokumen gantian yang sah sehingga pelekat PLKS yang baharu dikeluarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memberi jaminan untuk menyelesaikan kekeliruan berhubung isu penahanan pekerja asing ketika proses memperbaharui PLKS.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");