Sukan Hari Ini

Mat Yo nafi terima tawaran kelab Korea

“SAYA tak tahu apa-apa pun.” Demikian reaksi spontan penyerang nombor satu negara, Norshahrul Idlan Talaha ketika diminta mengulas khabar angin yang mengatakan dia ada menerima tawaran daripada kelab Incheon United FC yang beraksi di Liga Korea.

Bekas penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menafikan kelab Korea tersebut ada membuat tawaran kepadanya untuk beraksi di negara berkenaan sebaliknya menyifatkan ia adalah khabar angin.

Menurutnya, dia sememangnya tidak tahu perkara itu dan terkejut apabila melihat surat tawaran daripada kelab Korea tersebut tersebar dan menjadi viral di laman sosial.

“Kalau perkara ini betul, mestilah ia akan melalui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terlebih dahulu, tetapi saya difahamkan pihak pengurusan pun tidak tahu perkara ini.

“Apa yang bola saya katakan, ini semua tidak betul dan saya tidak menerima sebarang surat tawaran sebagaimana digembar-gemburkan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Dalam pada itu, Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo menjelaskan, gambar yang tersebar itu diambil ketika dia menjalani sesi pemilihan bersama skuad Harimau Malaya untuk kelayakan Piala Asia bertemu Palestin, baru-baru ini.

Katanya, dia sememangnya ada bergambar dengan ejen Korea, tetapi itu hanya permintaan mereka untuk bergambar ketika berada di Kuala Lumpur sebulan yang lalu dan bukannya berbincang mengenai tawaran terbabit.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima apa-apa surat dari kelab Korea itu sebaliknya hanya melihat gambar yang tersebar di laman sosial dan WhatsApp.

“Norhahrul masih terikat dengan PBSNT sehingga tamat musim ini dan sehingga kini, tiada perbincangan dilakukan dengan persatuan. Jadi, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut tentang perkara ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");