Berita Hari Ini

Peniaga wajib letak tanda harga

TANAH MERAH – Peniaga yang menjual barangan secara runcit dikategorikan penjual runcit dan tertakluk kepada Perintah Kawalan Harga 1993 walaupun mereka berniaga di pasar tani, pasar malam atau bazar Ramadan.

Justeru, peniaga terbabit diingatkan supaya mematuhi peraturan di bawah undang-undang tersebut terutama wajib meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dipamerkan untuk jualan.

Ketua Cawangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daerah ini, Wan Mohd Marzuki Wan Abdul Kadir berkata, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga tersebut boleh didenda atau dipenjara.

Menurutnya, tindakan tegas itu membuktikan kerajaan melalui KPDNKK serius dalam menjaga kepentingan pengguna dan memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

“Mana-mana peniaga degil dan gagal meletakkan tanda harga adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat berkaitan harga dan penandaan harga kepada peniaga bazar Ramadan Jajahan Tanah Merah 2015 anjuran Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), dekat sini.

Seramai 85 peniaga bazar Ramadan yang hadir turut berpeluang mendengar taklimat daripada Pejabat Kesihatan daerah dan Unit Penguatkuasa MDTM.

Menurut Wan Mohd Marzuki, peraturan lain yang wajib dipatuhi penjual runcit di bazar Ramadan ialah menanda setiap barang jualan dengan harga tunai bagi setiap unit serta perihal dan harga yang jelas jika ada senarai.

“Di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993, tanda harga juga mesti guna bahasa Malaysia, mudah dilihat dan dalam nilai ringgit Malaysia,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi bazar Ramadan di sekitar daerah ini dan akan membuat pemeriksaan berkala di kawasan berkenaan bagi memastikan peniaga patuh kepada arahan.

“Pengguna yang ada sebarang kemusykilan atau aduan mengenai perkara ini (tanda harga) boleh buat laporan di mana-mana pejabat KPDNKK berhampiran atau menghubungi talian bebas tol di 1-800-886-800,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");