Jenayah

Motosikal lekat pada jentolak

JERTIH – Hasrat bakal guru untuk berkelah bersama rakan tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kampung Chegar Batang dekat Pasir Akar, ketika dalam perjalanan ke pusat rekreasi Air Panas La, Hulu Besut, semalam.

Mangsa, Mohd Faisal Ismail, 22, dari Kampung Tok Raja meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah jentolak dalam kejadian lebih kurang jam 12.40 tengah hari.

Rakan karibnya, Mohd Di’Bal Zulkifli, 19, berkata, sebelum kejadian, dia bersama mangsa dan seorang lagi rakan menunggang motosikal masing-masing dari bandar Jertih ke Air Panas La.

Menurutnya, mereka merancang untuk singgah di rumahnya di Kampung Padang Bual yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian, sebelum meneruskan perjalanan ke Air Panas La.

“Kami berkumpul di bandar Jertih lebih kurang jam 11 pagi selepas Mohd Faisal mengajak saya mandi di kolam Air Panas La hari ini (semalam). Jadi, kami berkumpul di Jertih sebelum bertolak bersama dengan tiga motosikal.

“Saya dan Khalis (Khalis Mohd Zamizi, 19) yang berada di hadapan, terlebih dahulu sampai di rumah. Namun sebaik sahaja sampai, saya dapat panggilan beritahu Mohd Faisal terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Besut, semalam.

Menurut Mohd Di’Bal, mereka kemudian bergegas ke tempat kejadian dan amat terkejut apabila melihat rakan karib mereka sudah tidak bernyawa di atas motosikal dan ‘terlekat’ pada sebuah jentolak.

Katanya, Mohd Faisal merupakan pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru Pangkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan akan menamatkan pengajian tahun ini.

Anak keenam daripada 10 beradik itu dikatakan baru selesai menjalani latihan amali dan masih bercuti sebelum kembali memulakan pengajian minggu depan.

“Kami perasan perubahan pada Mohd Faisal sejak beberapa hari lalu, dia berubah menjadi pendiam dan hanya tersenyum,” katanya yang merupakan penuntut Politeknik Tengku Omar, Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku di jalan Jertih ke Pasir Akar, Kampung Chegar Batang melibatkan sebuah motosikal ditunggangi mangsa dan sebuah jentolak dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari Tembila.

“Kedua-dua kenderaan datang dari arah sama (dari Jertih menghala ke Pasir Akar) dan apabila sampai di tempat kejadian, pemandu jentolak cuba masuk ke simpang sebelah kanan.

“Mangsa datang dari arah belakang dan cuba memotong dari kanan, namun jarak dekat menyebabkan mangsa merempuh bahagian belakang penyodok hadapan jentolak itu dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya.

Menurut Khaled, mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat, manakala pemandu jentolak tidak mengalami kecederaan.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat patah tengkuk dan pendarahan dalam kepala.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");