Jenayah

Nyaris diterbangkan angin kencang

MUAR – Kira-kira 30 penduduk menempuh detik mencemaskan dalam kejadian ribut yang melanda Batu 10, Kampung Paya Panjang, Sungai Raya, Pagoh, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan enam rumah penduduk mengalami kerosakan pada bumbung akibat angin kencang selama 10 minit itu.

Mangsa, Zulkifli Enjah, 54, berkata, dia tidak menyangka hujan kasar seakan-akan hujan batu berserta angin kencang dan guruh boleh menyebabkan bencana seperti itu.

Menurutnya, ketika itu, dia berada di beranda rumah bersama isteri dan ahli keluarga lain yang sedang sibuk menyiapkan masakan kenduri tahlil pada sebelah malam.

“Banyak dahan pokok durian di dusun hadapan rumah patah dan kami nampak kepulan kabus besar seperti asap datang menghala ke arah rumah.

“Bila kepulan itu menghampiri rumah, saya dapat rasa tekanan angin kuat sampai terpaksa berpaut pada tingkap elak daripada diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, mujur angin itu tidak tepat ketika melintasi bumbung rumah dan hanya menerbangkan beberapa keping zink pada garaj kereta.

Mangsa, Abu Ibrahim, 61, berkata, ketika kejadian dia berada di kebun getahnya di Kampung Jayor, Pagoh, dan mengetahui rumahnya terlibat bencana tersebut apabila diberitahu jiran.

“Saya segera pulang dan mendapati sebahagian bumbung dapur sudah tercabut diterbangkan angin sejauh 50 meter di kawasan tanah lapang bersebelahan rumah.

“Masa itu, hanya isteri dan tiga anak ada di rumah dan mereka menceritakan pengalaman berdepan detik tersebut. Syukur kesemua ahli keluarga selamat,” katanya.

Ibu tunggal, Noriah Marzuki, 55, berkata, dia terdengar bunyi kuat di bahagian bumbung dan serta-merta ruang tamu rumah dimasuki hujan, sebaik selesai menunaikan solat Asar.

“Saya bersama anak bongsu terpaksa berlindung dalam bilik kerana bimbang keadaan jadi lebih buruk. Ruang tamu rumah banjir dipenuhi hujan.

“Saya bersihkan rumah apabila hujan berhenti jam 6 petang dan bersyukur tidak berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Senator Noriah Mahat berkata, jawatankuasa Parlimen Pagoh membantu kesemua mangsa terlibat termasuk sudah melakukan dua lawatan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan insiden tersebut.

“Kita turut membawa wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Muar bertemu mangsa untuk mengenal pasti bentuk bantuan bersesuaian yang akan diberikan kepada mereka.

“Tindakan awalan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pagoh akan membantu mangsa untuk membaik pulih semula kerosakan dengan menanggung sebahagian daripada kos tersebut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");