Jenayah

Pemandu nyaris maut elak kucing

SUNGAI BESAR – “Nasib baik ALLAH panjangkan umur saya. Kalau lambat, mungkin jasad saya yang akan bersemadi dalam kereta ini,” kata seorang lelaki berusia 45 tahun selepas kereta Proton Wira Aeroback yang dipandunya hilang kawalan lalu masuk ke dalam parit di Kampung Parit 4, Sungai Besar, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang enggan dikenali terbabas ke dalam parit itu selepas cuba mengelak seekor kucing ketika dalam perjalanan dari Parit 6 menuju ke Panchang Bedena, Sungai Besar.

Mangsa berkata, kejadian yang berlaku itu disifatkannya sebagai igauan ngeri dalam hidupnya, namun bersyukur apabila sempat menyelamatkan diri untuk keluar dari kenderaan terbabit.

“Saya cuba pusing stereng kereta untuk elak kucing, tak sangka pula kereta hilang kawalan dan terus masuk ke dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut mangsa, dia nyaris lemas selepas terperangkap dalam parit itu selama kira-kira 30 saat selepas kereta yang dipandunya itu terbabas dan kemudiannya meluncur laju ke dalam parit berkenaan.

“Nafas saya tercungap-cungap masa kereta masuk ke dalam parit. Saya cuba untuk keluar dengan tendang cermin depan kereta dan tumbuk cermin tempat duduk pemandu, tetapi gagal.

“Dalam keadaan kalut untuk selamatkan diri sebab air mula masuk dalam kereta, saya kemudian tendang cermin kiri tempat penumpang hadapan lima kali sebelum cermin itu berjaya dipecahkan,” katanya.

Mangsa yang memandu bersendirian sewaktu kejadian itu berkata, selepas berjaya keluar dari kereta yang terperangkap dalam parit, dia kemudiannya mengharung air dalam dan deras untuk naik ke darat.

“Kebetulan saya nampak seorang kenalan yang bawa motosikal melalui jalan berkenaan. Saya yang masih berada dalam parit terus jerit dan panggil kenalan itu untuk minta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian pulang ke rumah untuk membalut luka yang dialami di bahagian kaki kiri selepas terkena serpihan kaca dari tingkap kereta terbabit sebelum datang semula ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya tengok orang ramai dah mula berkumpul. Kereta saya akhirnya berjaya dibawa keluar beberapa jam selepas kejadian,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");