Berita Hari Ini

Pemimpin DAP Sabah jangan politikkan Esscom

KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta semua pihak terutama pemimpin DAP Sabah supaya tidak mempolitikkan kes penculikan di Restoran Ocean King Sandakan dan memperlekeh peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam menjaga keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Ketua Penerangan PBS, Datuk Jahid Jahim berkata, soal keselamatan ialah tanggungjawab bersama dan tidak seharusnya diserahkan ‘bulat-bulat’ kepada Esscom, apatah lagi kes penculikan di Sandakan itu dikatakàn didalangi orang dalam yang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

“Isu penculikan atau jenayah rentas sempadan memerlukan penyelesaian secara holistik termasuk menyelesaikan isu Pati di Sabah. Ini kerana kes penculikan ini ada kaitan dengan orang yang sudah berada di dalam Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jahid turut menyifatkan tuduhan melulu yang dilemparkan Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong terhadap para pegawai Esscom sebagai tidak wajar, berniat jahat dan bermotifkan politik.

Katanya tindakan pemimpin DAP Sabah mempolitikkan isu penculikan dan tuduhan melulu itu “amat teruk” kerana ia bukan sahaja menjatuhkan maruah pegawai kerajaan malah menjatuhkan imej Esscom.

“Kenyataan pemimpin DAP itu tidak lebih daripada ‘political stunt’ untuk meraih sokongan politik kerana sebelum ini saya difahamkan beberapa wakil rakyat DAP dilayan dengan baik oleh Esscom dan diberi taklimat sendiri oleh Komander di ibu pejabat Esscom selain diberi nombor telefon komander sekiranya memerlukan penjelasan namun pemimpin DAP Sabah memilih untuk mengaibkan Esscom di media sosial,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil keterangan rasmi daripada pemimpin DAP Sabah itu bagi menentukan kesahihan tuduhan beliau.

Katanya pemimpin DAP Sabah tidak boleh biarkan membuat tuduhan membabi buta terhadap mana-mana pihak termasuk Esscom atas nama prinsip demokrasi dan DAP perlu spesifik dalam tuduhannya kerana operasi bersepadu melibatkan banyak agensi termasuk Jabatan Imigresen dan Kastam.

“Pemimpin DAP tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya tidak dapat membuktikan tuduhannya yang diuar-uarkan melalui media sosial,” katanya.

Pada Khamis lepas, Jimmy dalam kenyataannya seolah-olah menuduh secara keterlaluan dan isu kegagalan peruntukan lebih RM600 juta yang disiarkan portal berita Roketkini.

Jimmy yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu juga dipetik sebagai mendakwa bahawa Esscom turut menerima rasuah daripada pekerja asing semasa Operasi bersepadu yang melibatkan pelbagai kerajaan negeri dan persekutuan yang diterajui Esscom.

Sementara itu Jahid berkata, PBS menghargai peranan Esscom yang menerajui Operasi Bersepadu yang kini giat dilancarkan di enam daerah di Esszone iaitu Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sehingga berjaya mengembalikan dominasi peniaga tempatan di kesemua pasar besar di bandar atau pekan di enam daerah berkenaan.

Sehubungan itu, PBS menyokong supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak termasuk parti pembangkang yang melindungi, bersekongkol atau dilihat berpihak kepada majikan dan peniaga yang mengambil atau menggaji Pati. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");